Wednesday, July 14, 2010

Masyarakat Madani Teras Peradaban

"Our task is to dream and work for the future -- for a time when a new Muslim civilization will emerge -- a dynamic, thriving, growing, healthy and happy civilization; a civilization in which man will be at peace with himself, with the physical environment and, above all, with his Creator. In the meantime, we must plan and produce the prerequisites for such a civilization." Kalim Siddiqi.

Menurut kamus Arab -English Hans Wehr, madani membawa maksud 'civilized, humanized, urbanized, polished, refined'. Oleh itu, masyarakat madani dapatlah diertikan sebagai sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya hidup murni berteraskan keadilan, keihsanan, kebebasan, kebenaran, kesamaan dan ketamadunan dalam semua aspek kehidupan. Ini membawa maksud prinsip-prinsip asas tersebut dijelmakan dalam keagaman dan kerohanian, kemasyarakatan dan kebudayan, keilmuan dan pendidikan, kesenian dan kesusasteraan, perundangan dan pemerintahan, ekonomi, sains dan teknologi, serta persekitaran dan kesihatan.

Dalam ertikata yang lebih tepat, 'ia adalah masyarakat yang menghormati hak-hak asasi manusia dan amalan demokrasi yang berpaksikan kehidupan beragama, berakhlak dan keutamaan menunaikan tanggung jawab individu dan masyarakat bagi memelihara serta mempertahankan kesejahteraan dan keamanan berlandaskan undang-undang. Masyarakat madani juga sebuah masyarakat yang memberi keutamaan kepada keperluan asas, dinamika budaya, kecerdasan dan perkembangan ekonomi, menjaga persekitaran dan mewujudkan pembabitan aktif di kalangan rakyat daripada pelbagai sudut. Ia juga sebuah masyarakat yang menyanjung tinggi perkembangan serta penghayatan ilmu, pembentukan peribadi mulia, kaya dengan daya cipta yang kreatif dan inovatif. Model bagi masyarakat madani daripada perspektif Islam meletakkan kedaulatan rakyat terbanyak sewajarnya dihormati tetapi tidak bertentangan dengan kedaulatan suci dan murni daripada Allah swt. Ia menekankan kepada hak asasi berteraskan martabat kemanusiaan, bentuk kerajaan yang berteraskan keadilan dan membenarkan kritikan daripada pelbagai lapisan rakyat. Bentuk persaingan yang sihat digalakkan dan mengutamakan pendekatan damai berbanding permusuhan dan peperangan.' (petikan dari penulisan).

Oleh yang demikian, 'masyarakat madani merujuk kepada sebuah masyarakat bertamadun, beradab, berilmu, memiliki kehidupan bermasyarakat yang teratur dan tertib dalam kawalan hukum serta undang-undang dan penguatkuasaan keadilan. Ia juga dikaitkan dengan tamadun yang digambarkan sebagai kehidupan insan yang bermasyarakat dan telah mencapai satu kehalusan tatasusila dan kebudayaan luhur bagi seluruh masyarakat. Ia juga mempunyai sistem sosial yang subur dengan prinsip-prinsip moral yang dapat menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat serta mendorong kepada daya usaha dan inisiatif individu.'(petikan dari penulisan)

Penghijrahan al-Rasul SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kepada pembentukan masyarakat madani selepas pembentukan individu-individu beradab diasaskan di Makkah. Sahifah al-Madinah menjadi perlembagaan bertulis terawal yang membuktikan bahawa Islam sebagai peneraju kepada pembentukan masyarakat madani. 'Di dalam perlembagaan ini, setiap puak dan kaum di dalam kota Madinah perlu memberi pengakuan dan berjanji menghormati hak-hak individu lain tanpa melihat kepada perbezaan agama dan menjadi umat yang bersatu dengan hak-hak dan kewajipan yang sama. Dengan itu, Islam telah membawa perubahan radikal dalam kehidupan individu dan sosial di Madinah kerana keupayaannya mempengaruhi dan meningkatkan kualiti seluruh aspek kehidupan. Konsep masyarakat madani di Madinah menjadi asas kepada satu kehidupan bertamadun dengan kombinasi elemen perundangan, penyertaan politik daripada pelbagai kalangan rakyat dan kaum serta kesediaan memenuhi keperluan pelbagai budaya'. (petikan dari penulisan). Satu transformasi telah berlaku dengan berubahnya sistem nilai kepada yang berlandaskan etika, moral, adab dan agama. Inilah permulaan kepada sesebuah peradaban.