Sunday, August 5, 2012

Ramadan : Satu Pemukiman Ruhani

Ramadan ialah bulan pemukiman ruhani (spiritual retreat). Manusia yang terdiri dari jasad dan ruh perlu mengimbangi pemakanan untuk kedua-duanya. Jika untuk 11 bulan yang lepas, jasad yang berbentuk fisikal telah dimanjakan dengan pelbagai jenis jamuan yang juga dihasilkan oleh alam fizikal dalam bentuk, rasa serta aroma yang berbeza. Maka dalam Ramadan (untuk 1 bulan) ini, ruh yang yang bersumberkan dari langit berpeluang untuk mendapat sebanyak-banyak makanan yang juga diturunkan dari langit. Al-Qur'an yang diturunkan dalam Ramadan yang kemudian dibaca dan dihayati dengan sepuas-puasnya semasa qiam yang panjang, tilawah atau tadabbur sehingga boleh mewujudkan perhubungan yang akrab dengannya bahkan dengan Sumbernya. Moga-moga ruh/hati yang hidup dengan al-Qur'an ini akan beroleh taqwa ( Al-Baqarah : 183). Ramadan selain dari dikaitkan bulan berpuasa, ia juga dikenali dengan bulan al-Qur'an. Allah SWT menurunkan al-Qur'an di dalamnya sebagai Huda, Bayyinah dan Furqan (Al-Baqarah :185). Siapakah yang selalu menjadi pakar rujuk kita (Huda), siapakan yang menjelaskan kekeliruan atau kekusutan yang kita hadapi (Bayyinah) atau siapakah yang menentukan betul salahnya sesuatu perkara (Furqan)? Jika selama ini al-Qur'an masih tidak berperanan dalam kehidupan kita, selain dari ditilawah, dihafal dan dipertandingkan usaha yang serius, bersungguh-sungguh dan bersistematik perlu digerakkan untuk meramaikan lagi ummah yang mendalami, menghayati dan menjadikan al-Qur'an sebagai Huda, Bayyinah dan Furqan. Usaha ini mestilah selari dengan usaha untuk memahirkan diri dalam bahasa Arab. Dengan memahami bahasa Arab, tidaklah timbul persolan-persolan seperti dalam Ramadan ini mana lebih baik samada membanyakkan tilawah atau memahami maknanya? Setiap tahun, bonus seringkali ditunggu-tunggu oleh penjawat awam atau swasta. Malangnya ramai yang terlepas pandang akan bonus 1000 bulan yang Allah SWT sediakan setiap tahun tanpa gagal (al-Qadr : 3). Siapakah di antara kita yang berlumba-lumba untuk mendapatkan bonus ini? Amatlah malangnya jika Ramadan berlalu, kita menjadi di antara orang yang rugi kerana tidak berpeluang untuk menerima bonus ini! Pada malam yang penuh kemuliaan, malam yang menjadi penentuan serta malam yang padat (kerana turunnya Malaikat yang memenuhi ruang bumi), satu perancangan untuk merebut bonus ini perlu dibuat supaya tidak terlepas peluang. Bebaskan diri kita daripada tuntutan-tuntutan duniawi (dengan beri'tikah) sebaliknya beri/sediakan ruang seluas-luasnya untuk membaja dan menyirami ruh dengan amalan untuk memburu laylat al-qadr. Moga dipertemukan! Kejayaan 'spiritual retreat' ini ialah apabila berlalunya Ramadan, kita tergolong di antara yang mendapat rahmah, maghfirah serta perlepasan dari api neraka. Amin

Thursday, April 19, 2012

Persiapan Muslim Inteligensia Kini : Satu Refleksi

Persiapan golongan inteligensia yang paling penting ialah ilmu. Rasulullah SAW dilaporkan bersabda, 'khiyarukum fi'l jahiliyyah, khiyarukum fi'l Islam iza faqihu,' yang bermaksud 'yang paling baik di antara kamu semasa jahiliyyah adalah juga yang paling baik dalam Islam jika dia faham (Islam),'. Istilah fiqh yang dimaksudkan mempunyai erti yang lebih luas seperti 'tafaqquh fi'l-Din,' (at-Taubah :122), memahami Islam seluasnya.

Pemahaman Islam yang luas tidak semestinya bermakna pemahaman yang detail atau terperinci. Ini tidak juga bermakna bahawa pengetahuan terperinci dan penghafalan fakta yang banyak tidak penting. Data dan fakta amat penting untuk perumusan prinsip. Kebolehan dan keupayaan merumus prinsip dari data dan fakta yang betul merupakan kemuncak pemikiran induktif, menjadi kaedah ilmu al-Qur'an yang unik. Tegasnya, kefahaman tidak sinonim dengan pengetahuan 'detail'. Data dan fakta mestilah tidak 'opaque', mereka wajib mengarah kepada prinsip-prinsip di belakangnya.

Jadi, persiapan Muslim Inteligensia kini perlu maju kehadapan dan tidak seharusnya berpusing dalam satu bulatan. Proses kefahaman Islam harus menunjukkan sifat kesegeraan (urgency), kesungguhan dan keteraturan yang seharusnya dan patut membolehkan melahirkan pemikir dan ide-ide sesuai dengan cabaran-cabaran masa kini, setelah lebih 30 tahun kembali kepada Islam.

Kumpulan kajian (usrah) yang merupakan alat penerimaan ilmu Islam paling konsisten bagi sebahagian besar inteligensia Muslim perlu sampai ke hujung silibus pengajiaannya. Silibus pengajiaan mestilah jangan terlalu asas dan mendatar, perlu mengambil kira keperluan-keperluan intelektual ahli yang berkehendakkan gagasan-gagasan penting untuk kehidupan intelektualisme dan profesional masing-masing. Silibus pengajian perlu mengajak ahli meneliti dan mengkaji serta membincangkan dengan kritis dan menyeluruh tasawwur al-Qur'an dan Sunnah Nabawiyyah bukan sekadar memahami 'substance', tetapi juga 'method'. 'Method' yang dimaksudkan ialah cara-cara memahami nas-nas (texts) dalam 'semantic field' dan dalam rangka sosio-sejarah serta dalam tasawwur umum sepadu al-Qur'an dan perjuangan Rasulullah SAW. 'Method' juga bermaksud cara-cara menghubungkan nilai dan kepentingan Islam dengan budaya-budaya lain, baik yang silam mahupun kontemporari.

'Substance' tanpa 'method' adalah jumud, beku; tidak berupatya membawa prinsip dan nilai Islam ke ruang dan waktu yang berbeza dengan yang asal. 'Substance' sahaja tanpa 'method' akan membuahkan pengulangan; penting dalam ibadah ritual tetapi melemahkan dalam hal-ehwal keilmuan, sosio-ekonomi, politik dan sebagainya. 'Method' juga tanpa 'substance' yang memadai, akan merosakkan. Tragedi masa dulu dan kini ialah keterperangkapan dengan 'method' (dan sedikit 'substance') tanpa 'substance' yang benar dan adil. 'Method' tanpa 'substance' yang memadai akan membuahkan fanatisme; fanatisme akan menghasilkan kezaliman.

Silibus pengajian inteligensia Muslim dalam usrah, atas sifatnya yang informal, tidak meminta banyak input dari ahli. Ini amat merugikan kerana golongan inteligensia adalah golongan penting. Mereka harus diminta berusaha lebih gigih untuk membaca dan mengumpul bahan-bahan yang lebih tinggi mengenai dasar-dasar Islam, perjalanan sejarah, dan liku-liku warisan pemikiran dan peradabannya. Tulisan-tulisan mengenai usul al-fiqh al-mazhab, kalam, falsafah, dan tasawuf mesti dibincangkan dalam konteks sejarah dan masyarakat pemikir serta diukur dengan tasawwur normatif sepadu. Perkara-perkara ini hendaklah dibincang seperti kuliah akademik yang serius.

Usrah, atas dasar sifatnya yang informal itu, perbincangan dan pengajian ilmu dalam usrah berupa tidak 'rigorous' atau tidak ilmiah. Metodologi ilmiah usrah lebih bercorak sehala, bacaan teks pilihan dengan perbincangan yang sepontan tanpa pemikiran-dalam, dan tanpa 'follow up' terhadap isu-isu yang timbul semasa perbincangan. Selain bidang shari'ah, tulisan-tulisan pemikir-pemikir islam dalam bidang kalam, falsafah, dan tasawuf tinggi tidak dimasukkan dalam silibus termasuk peneliti efektif tentang usul al-fiqh.

Dicadangkan agar silibus dan kaedah usrah serta tujuannya diperkemaskan agar terbitlah satu sikap 'urgency' di kalangan ahli untuk benar-benar mengkaji dan menggunakan hasilnya untuk kehidupan profesional. Usrah mesti dijadikan majlis ilmu serius dan bermakna di mana segala isu-isu dibincangkan dengan semangat akademik jujur dengan persiapan sepatutnya. Tujuan majlis ilmu kita ialah untuk melahirkan inteligensia yang mampu memahami dan membantu menyelesaikan masalah manusia melalui tata-nilai dan cita-cita Islam.

Bahan-bahan tambahan untuk mengukuhkan lagi silibus usrah :
i. Major Themes of the Qur'an
ii. History of Muslim Philosophy
iii. Ulum al-Qur'an
iv. Risalah oleh Al-Shafi'i
v. Early Development of Islamic jurisprudence
vi. Book of Knowledge
vii. Muqaddimah
viii. Reconstruction of Religious Thought
ix. Science and Civilization
x. Legal Philosophy of al-Shatibi
dan lain-lain.

Di petik dari 'Rihlah Ilmiah : Wan Mohd Nor Wan Daud' dengan sedikit pengolahan.

Monday, March 12, 2012

Wacana Ilmiah : Senibina Ilmu dalam Islam

PERINTIS (Persatuan Saintis Muslim Malaysia) merakamkan ucapan penghargaan kepada Prof Datuk Dr Osman Bakar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) kerana sudi untuk berkongsi pemikiran dalam Wacana Ilmiah yang diadakan pada 7 Mac 2012. Acara ini adalah anjuran bersama dengan Fakulti Teknologi dan Sumber Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia di Dewan Multimedia kepunyaan fakulti.

Para peserta berpeluang untuk mendengar dari seorang yang sangat berwibawa tentang subjek ini di mana bukunya yang terkenal 'Pengkelasan Ilmu dalam Islam' telah mempunyai sekitar 400 petikan sehingga kini. Beberapa soalan yang sangat mencabar dari peserta mempunyai daya tarikan yang cukup bagi lebih kurang 75 hadirin untuk terus duduk sehingga akhir. Para hadirin telah diajukan dengan beberapa isu yang sangat penting, diantaranya ialah:

• Klasifikasi ilmu sebagai satu mercu tanda dalam sejarah keintelektualan Islam
• Gambaran menyeluruh sejarah klasifikasi ilmu dalam Islam
• Mengapa klasifikasi ilmu penting untuk minda Islam?
• Bila dan mengapa pengkelasan ilmu berhenti sebagai aktiviti intelektual dalam
tamadun Islam?
• Relevannya idea Islam tentang klasifikasi ilmu kepada dunia kontemporari
• Keperluan untuk menghidupkan semula tradisi Islam dalam mengklasifikasi ilmu

Melihat kepada keadaan kekeliruan, kesilapan, tiada aturan, tidak terarah serta kurang ketepatan rmatlamat dalam pencarian ilmu hari ini, terdapat keperluan serius untuk mengkategori dan mengklasifikasikan ilmu.

1) Usaha untuk mengkategorikan ilmu kepada ilmu yang bermanafaat dan tidak bermanafaat adalah penting kerana ilmu dibentuk menurut kepercayaan atau pandangan alam penerajunya, lebih tepat lagi ia tidak bersifat neutral disamping skopnya begitu luas. Ini dilakukan supaya kita terselamat dari menerima apa sahaja ilmu atau maklumat yang mendatang disamping berwaspada terhadap pemikiran yang menyeleweng atau memudaratkan.

2) Kewujudan pelbagai bidang atau disiplin ilmu yang bermanafaat memerlukan klasifikasi yang tepat berdasarkan pendekatan Islam supaya keutamaan dapat diberikan berdasarkan :

a) sains wahyu (ulum naqliyah) dan sains rasional (ulum aqliyah)
b) fard 'ayn dan fard kifayah
c) ilmu Shari'ah dan ilmu bukan Shari'ah
d) ilmu yang dipuji (mahmudah) dan ilmu yang dicela (mazmumah)

Klasifikasi ilmu dapat menentukan keseimbangan dan keharmonian, kesatuan berasaskan tawhid serta memelihara pandangan alam Islam. Klasifikasi ilmu juga menentukan supaya tidak berlebihan terhadap ilmu yang bukan keutamaan.

3) Hari ini ramai yang terperangkap dengan pengkhususan dalam sesuatu disiplin, tidak sebagaimana ilmuan Islam terdahulu yang bersifat multi disiplin disamping ensaiklopedik. Sebagai pembaikan (adalah agak mustahil untuk mencontohi sepenuhnya disebabkan faktor epistemologi, metodologi bahkan matlamat itu sendiri sudah tersasar), disarankan supaya berusaha untuk sekurang-kurangnya mengenal atau lebih baik lagi mendalami disiplin yang berdekatan atau berkaitan.

Dengan penekanan yang diberi dalam aspek ini, adalah diharapkan akan wujud satu kurikulum pendidikan yang dapat mengekalkan keseimbangan harmoni diantara keperluan yang berkekalan dan keperluan yang berubah-ubah bagi sesebuah masyarakat.