Sunday, June 8, 2014

Shari'ah dan Peradaban



Dalam satu bengkel,  Maqasid al-Shari’ah (MS) dan Masyarakat Madani, pembentang menyarankan agar shari’ah diperluaskan skopnya supaya melampaui ruang lingkup perundangan. Dalam erti kata lain, sampai masanya shari’ah berperanan lebih aktif dalam kehidupan sosial dan bidang-bidang lain.

Dalam perbincangan yang tidak formal dengan rakan-rakan selepas satu sesi temubual di radio 24 Bernama mengenai program ‘Seminar Wanita dan Shari’ah’, ada yang menyarankan agar mewara-warakan juga hubungkait shari’ah dengan peradaban.

Dengan dua situasi ini, satu inisiatif untuk memulakan perbincangan berkisar disekitar isu ini perlu diambil. 

Menurut pandangan beberapa ulama tradisi terdahulu, shari’ah seperti yang sentiasa ditegaskan oleh Prof Dr Jasser Auda akan menjadi lebih inklusif, universal, dan menarik pandangan ramai apabila shari’ah difahami sebagai sesuatu yang boleh membawa kepada keadilan, rahmah, hikmah dan kebaikan bersama. Dengan ini, masyarakat dapat bermuamalah berlandaskan satu sistem nilai yang akan membawa kepada kehidupan manusia yang sejahtera. Jika pengertian  shari’ah sebegini yang difahami oleh ramai samada Muslim dan bukan Muslim, sokongan dari pelbagai pihak pasti berada dibelakang perlaksanaan shari’ah, in sha Allah. Tibalah masanya untuk  menyusun usaha supaya shari’ah menjadi lebih mesra dan popular. Untuk ini, ditegaskan sekali lagi iaitu shari'ah secara umum mesti dilihat sebagai memperjuangkan keadilan, rahmah, hikmah dan kebaikan bersama. Semua yang berlawanan adalah bukan daripada shari'ah. Gambaran atau persepsi shari’ah sebagai ‘ossified body of law’, ‘intellectually sterile body of knowledge’, tidak berkaitan dengan sekarang dan masa hadapan , mundur, serius iaitu tiada unsur hiburan,  tidak professional dan ciri-ciri negatif yang lain perlu diberi sudut pandang yang betul. Yang lebih penting perlu diingat iaitu perlaksanaan shari'ah termasuk hudud bukannya 'sudden or overnight affair instead it is like a spiral confined by its limits but moving with time with its norm requiring a fresh effort to understand by Muslims of every epoch.'  
 
Persoalan berikutnya ialah bagaimana pula peranan shari’ah dalam sesuatu peradaban? Untuk melihat shari’ah sebagai satu ‘problem solving methodology’, Islam mesti diketengahkan sebagai suatu peradaban yang merangkumi keagamaan dan kerohanian, kemasyarakatan dan kebudayan, keilmuan dan pendidikan, kesenian dan kesusasteraan, perundangan dan pemerintahan, ekonomi, sains dan teknologi, serta persekitaran dan kesihatan. Dengan berlandaskan keadilan, rahmah, hikmah dan kebaikan bersama, shari’ah khususnya maqasid al-shari’ah berupaya menjadi ‘tool for renewal and reform’ samada dalam bidang perundangan, fiqh, sosial dan bidang-bidang yang lain. Sebagai objektif kepada shari’ah, MS secara tradisinya mengutamakan maslahah al-khair berhubung dengan pemeliharaan nyawa, aqal, harta, iman dan marwah. Untuk peradaban hari ini, MS memerlukan satu penterjemahan kontemporari. Sebagai contoh pemeliharaan nyawa kepada pemeliharaan keluarga, pemeliharaan harta kepada penyuburan harta, pemeliharaan aqal kepada pengembangan aqal iaitu menuntut ilmu serta mencipta kreativiti, pemeliharaan marwah kepada kebebasan hak dan bersuara, pemeliharaan agama kepada kebebasan kepercayaan. 

Dengan terminologi kontemporari, MS berupaya menjadi ‘tool for reform and renewal’ bagi sesuatu peradaban. Disamping itu ia boleh diaplikasikan kepada masyarakat madani dan aktivisme sosial. Tiga perkara yang perlu ditentukan adalah :

1. Menentukan objektif termasuk visi dan misi supaya mengambil kira ketetapan MS. Ini bermakna komiti-komiti yang terbentuk mesti meletakkan objektif selaras dengan MS.

2. Menetapkan keutamaaan berkisar sekitar MS dengan pertimbangan daruriyat, hajjiyat dan tahsiniyat. Sebagai contoh dalam misi-misi kemanusiaan perlu pertimbangan samada mengagihkan al-qur’an lebih penting dari 
memberi makanan dan minuman, mengembangkan kekayaan dari memelihara agama, menuntut ilmu dari memelihara marwah dan lain-lain.

     3. Muslim dan juga non Muslim harus berkerjasama di atas objektif dan nilai sesuatu isu yang disepakati. Isu ini adalah juga merupakan isu Islamik seperti pemeliharan alam sekitar, ‘go green’, penjimatan air, pendidikan dan lain-lain.

Berdasarkan tiga ketetapan di atas, sosial aktivisme, masyarakat madani malah peradaban berupaya untuk bergerak dan berkembang dalam ruang lingkup shari’ah dengan memastikan MS terpelihara. Paling utama disamping kesejahteraan yang tercipta mampu dinikmati oleh alam dan manusia sejagat, shari’ah dan maqasidnya terbukti mampu menawarkan satu 'problem solving methodology' bagi ummah. Wallahu a'alam.