Monday, July 1, 2013

Kerjaya dan Kesejahteraan Keluarga


Kerjaya dan Cabaran kepada Kesejahteraan Keluarga
Dalam era yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran, tuntutan ekonomi telah berjaya menarik pasangan-pasangan untuk keluar berkerjaya. Kenaikan kos sara hidup, saiz rumah mampu milik yang makin mengecil, bersesak-sesak di dalam kenderaan awam, kualiti pengajaran dan pembelajaran yang merosot, tahap kecergasan yang menurun akibat kualiti pemakanan dan penjagaan kesihatan yang mampu beli kurang bermutu serta pendapatan sang suami yang tidak berbaki menjelang akhir bulan, semuanya menjadi dorongan yang mendesak untuk menambah kuasa membeli dan memiliki. Justeru, ramai pasangan bersepakat untuk kedua-duanya berkerjaya sebagai menampung kekurangan dari segi pendapatan yang sedia ada.

Hari ini ramai yang berpandangan kekukuhan ekonomi keluarga masing-masing dapat menyumbang kepada kesejahteraan agama-sosio-budaya masyarakat.  Malang sekali keluarnya pasangan-pasangan berkerjaya telah mengundang permasalahan dari sudut yang lain. Di antaranya ialah terabainya pendidikan anak-anak, renggangnya hubungan kekeluargaan, terbatasnya masa untuk menziarahi ibubapa, timbulnya masalah psikologi akibat tekanan kerja, terbiasanya pergaulan bebas di tempat kerja yang mengundang kepada berlakunya perhubungan jantina luar batasan yang pasti akan mengesani keharmonian rumahtangga, pekerja workaholic yang menghabiskan masanya dalam dunia kerjaya  dan yang paling parah ialah lunturnya rasa hormat isteri yang berkerjaya terhadap suami terutama bagi yang berjawatan lebih tinggi dan merasa boleh berdikari. Jadi, dalam situasi yang sebegini bagaimanakah penyelesaiannya?

Bolehkah pasangan mencari dan mengumpul kekayaan? Bolehkah wanita khususnya sang isteri keluar bekerja? Jika pasangan berkerjaya, siapakah yang bertanggung jawab terhadap perbelanjaan rumahtangga? Adakah isteri secara mutlak memiliki gaji atau upah yang diperolehinya?  Apakah jenis kerjaya yang bersesuaian dengan wanita? Bagaimanakah prasarana kerja yang kondusif bagi kedua-dua lelaki dan wanita? Dalam situasi isteri tidak bekerja dan perlu membantu perbelanjaan ibubapa, apakah peranan suami? Juga, bagi wanita yang rata-rata berpendidikan tinggi, tidakkah dorongan untuk menyumbang kepada masyarakat menjadi lampu hijau untuk berkerjaya?

Islam telah mengariskan prinsip-prinsip asas yang perlu dihayati dalam kehidupan di dunia. Kedudukan material di sisi manusia perlu diimbangi dengan tuntutan etika dan spiritual. Malah, kita sepatutnya memastikan bahawa semua yang dilakukan di dunia adalah untuk akhirah iaitu melakukan sebaiknya atau yang terbaik dari kehidupan dunia untuk mendapatkan Jannah. Hiduplah dengan hebat di dunia tetapi pastikan perlakuan kita menjamin untuk dirahmati dengan Jannah. Begitulah keseimbangan yang harus ada. Dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa penciptaan segala sesuatu di langit dan di bumi adalah bagi manusia untuk dinikmati. Walau bagaimana pun manusia di peringatkan juga akan batas-batas dan amanah yang perlu ditunaikan. Di samping mencari kesenangan hidup, di sana ada amanah terhadap diri, keluarga dan masyarakat yang perlu ditunaikan. Keluarnya pasangan berkerjaya adalah untuk menyelesai masalah dan bukan membawa masalah.

Dalam era langit terbuka dan maklumat dihujung jari, terdapat beberapa alternatif khususnya bagi wanita untuk mempunyai kerjaya yang bersesuaian tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam khususnya dalam pergaulan di samping masih mempunyai masa untuk pendidikan anak-anak. Dengan yang demikian tugas asasi untuk membentuk keluarga sejahtera tidak terabai. Pendidikan anak-anak generasi Y dan Alpha hari ini tidak semudah zaman sebelumnya. Pasangan bekerjaya perlu mempunyai  pengetahuan dan kemahiran untuk benar-benar mengenali kecenderungan, sikap serta cabaran terhadap generasi ini. Ia berupaya membantu mereka mengurus dan meningkatkan kemampuan untuk memimpin diri dan orang lain, bukan sebaliknya. Dengan kata lain, mereka tidak harus menjadi beban kepada ibubapa sendiri atau masyarakat. Peranan dan tanggungjawab pasangan berkerjaya juga penting dalam melaksanakan pengislahan, membina dan menggerakkan semangat keinsafan dan kesedaran, semangat unggul ke arah ketinggian akal budi dan kegagahan peribadi yang akan menggerakkan, mencelikkan dan membangun kehidupan dan peradaban zamannya pada era yang sangat mencabar ini.

Selain daripada itu, pasangan berkerjaya juga perlu mengambil peduli serta mempunyai kepekaan terhadap masyarakat setempat khususnya dan masyarakat global amnya. Kita tidak boleh menjadi pulau yang terasing (an island by itself) dengan menutup mata dan memekakkan telinga kepada hiruk pikuk kegawatan di luar sana. Penyakit-penyakit sosial seperti kecurian, rompakan, samun, rasuah yang terang-terangan atau tersembunyi, penipuan hatta menjual diri sebagai jalan terakhir untuk menambah pendapatan menggambarkan bukan sahaja ekonomi masyarakat itu berpenyakit malah kesihatan agama-sosio-budaya juga bermasalah.  Pasangan berkerjaya yang terbeban dengan tekanan dan segala macam permasalahan di tempat kerja akan kembali ke rumah dalam keadaan yang tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan ibubapa yang mampu membina keluarga sejahtera. Pergolakan di atas jika tidak ditangani dengan bijak dan berhikmah, keluarnya pasangan untuk berkerjaya bukan membawa kesejahteraan keluarga tetapi sebaliknya. Mungkin dengan mempunyai sifat qanaah, rida serta pengurusan mudah, ekonomi keluarga boleh menjadi titik mula penyelesaian kepada belenggu kekusutan tidak kecukupan ini. 

Keluarga yang Sejahtera
Bagaimanakah gambaran sesebuah keluarga yang sejahtera? Kehidupan keluarga yang dipenuhi sakinah yang akan mengundang mawaddah wa rahmah, pasangan dan zuriat menjadi qurrata a'yun, penyejuk mata yang mana dari mereka kita akan mendapat keselesaan dan kegembiraan, ketua keluarga yang mempunyai sifat cemburu dengan sentiasa menjaga diri dan ahli keluarga daripada menjadi bahan bakar di dalam neraka serta anak-anak yang merendahkan atau menundukkan diri dengan penuh kasih sayang terhadap kedua ibubapa. Melihat kepada kecanggihan bentuk ancaman moden terhadap kesejahteraan keluarga melalui pelbagai media (cetak, elektronik, maya dan sebagainya) dari yang berbentuk fizikal sehingga pemikiran, menuntut usaha pencegahan yang lebih terancang dan berkesan bagi mengimbanginya dari terus bermaharajalela. Unsur-unsur tersebut jika dibiarkan berkembang boleh mengundang kepada kerosakan demi kerosakan  kepada agama, jati diri hatta keluarga dan peradaban.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah pasti membantu orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa, (yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat maruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. (Surah al-Hajj: 40-41)