Tuesday, September 8, 2009

Perubahan : Di Sini Bermula

Pendidikan Islam bertujuan untuk membekalkan murid dan pelajar dengan pandangan alam yang sahih. Pandangan alam yang sahih akan membimbing mereka dalam menentukan arah tuju kehidupan di dunia yang inshÉAllah akan membuahkan kebahagiaan di akhirah. Pandangan alam yang sahih berkisar di sekitar pemahaman dan penghayatan sebenar tentang hakikat Allah SWT, kenabian, kehidupan manusia, dan kehidupan di Akhirah. Pandangan alam Islam yang merangkum perkara-perkara utama ini menjadi benteng yang kukuh untuk menepis segala macam kecelaruan serta kekeliruan yang terhasil dari pandangan alam Barat yang berjaya menguasai pemahaman dan pemikiran sebilangan besar Ummah hari ini. Kefahaman hari ini tentang agama; ilmu; adab dan pendidikan; sains dan teknologi; serta tradisi, kemodenan, dan pembangunan rata-rata dicorakkan oleh pandangan alam asing ini yang telah berjaya menguasai kerangka pemikiran manusia. Satu ‘philosophical program’ yang berlaku secara senyap ini telah menghasilkan nilai, budaya, pemikiran, dan malah pegangan yang asing di kalangan generasi Muslim hari ini.

Sistem pendidikan hari ini terutama pendidikan tinggi mesti mengambil tanggung jawab untuk menanam kefahaman sebenar tentang pandangan alam Islam yang berorientasikan masa hadapan. Ini hanya boleh berlaku sekiranya penggerak dan pendokong sesebuah sistem pendidikan mengambil langkah untuk mereorientasikan:

i) Falsafah
- usaha pendidikan yang menyeluruh, seimbang, dinamik dan berterusan
- bersandarkan prinsip dan konsep tasawwur al Islam yang terkandung dalam al Qur’an dan Sunnah.
- membangun seluruh potensi insan : jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial
- menjadi ‘abd dan khalifah : mengabdikan diri kepada Allah SWT dan memberi khidmat kepada alam dan ummah menurut bidang yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
- mewujudkan kesejahteraan di dunia dan mencapai kebahagian di akhirah.
ii) Matlamat – melahirkan insan salih wa muslih
iii) Kurikulum
- ada kesepaduan : menyediakan dua aliran kurikulum yang bukan sahaja terdiri daripada ilmu ‘aqli dan ilmu naqli secara selari tetapi memastikan ada usaha untuk menyepadukan antara kedua-duanya. Usaha ini bermaksud kurikulum ilmu naqli dan aplikasinya diterjemahkan ke dalam suasana yang berubah-ubah manakala kurikulum ilmu ‘aqli dan penyampaiannya diolah supaya menepati pandangan alam Islam (usaha jangka pendek)
- bersifat inter dan multi disiplin – menekankan kepada proses berbanding kronologi
- tiada pemetakkan yang ketara kecuali untuk pengkhususan (pengajian tinggi) untuk mendapatkan fahaman kesyumulan, dinamika dan getaran Islam serta mengelak dari pertindihan dan pengulangan.
- Fard ‘Ayn : berkembang selari dengan tahap umur, kematangan, pemikiran, kedudukan, status, dan pertanggungjawaban ini bermakna ianya tidak terhenti di peringkat menengah.
- Fard Kifayah : al qiamu bifardi al-kifayah ahammu min fard al-'ayn (kaedah yang dimulakan oleh ayah Imam al-Juwayni dimana al Juwayni ialah guru kepada Imam al-Ghazzali) - jika sekiranya menegakkan fard al-kifayah itu lebih penting, maka mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan adalah dituntut dan menjadi fard 'ayn bagi yang boleh memenuhinya (dialah satu-satunya yang dipertanggungjawabkan dalam bidang itu).
iv) pengajaran dan pembelajaran
- menyerlahkan hikmah serta melahirkan ‘izzah berbanding fakta : pendedahan kepada prinsip dan konsep seperti yang diterjemah dalam kehidupan al Rasul SAW dan para sahabah
- kreatif, inovatif dan kritis (perlu dapat membezakan di antara pemikiran yang dihasilkan dengan prinsip-prinsip yang kekal
- penghafalan diutamakan kepada nas dan dalil sahaja.
v) penilaian dan pentaksiran
- menyeluruh : kognitif, afektif dan psikomotor
: formatif dan summatif
: di dalam dan di luar institusi
: kumpulan penilai : guru/pensyarah, ibubapa/penjaga, rakan
sebaya/kuliah
- pemikiran tahap tinggi diperbanyakkan (kenapa, mengapa, dan bagaimana)
- mempraktikkan muhasabah, muraqabah, dan ihsan.
vi) pendidikan guru
- kurikulum pendidikan guru bersifat integrated : ilmu pendidikan moden diintegrasikan dengan amalan dan falsafah pendidikan ilmuan Islam terdahulu seperti epistemologi, dan falsafah pendidikan al Farabi; epistemologi, falsafah, psikologi pendidikan Ibn Sina; epistemologi, falsafah, psikologi, dan methodologi pendidikan al Ghazali; epistemologi, falsafah dan methodologi pendidikan Ibn Khaldun dan lain-lain.
- guru sebagai mu’addib (terkandung di dalamnya murabbi, dan mu‘allim)
- tugas mendidik adalah sumbangan khidmat kepakarannya untuk membangun ummah dan peradaban.

Produk sistem pendidikan hari ini dituntut supaya bukan sahaja mempunyai kemantapan aqidah serta mempamerkan sahsiah Islam tetapi mampu mengutarakan pemikiran yang boleh mengolah dan menterjemah dalam kerangka Islam bersandarkan pandangan alam Islam yang dikuasainya. Lebih daripada itu, mereka mesti berupaya untuk mengaplikasi dan menterjemah prinsip dan konsep Islam secara kreatif dan inovatif dalam suasana yang berubah-ubah.

p.s. Sebahagian besar dalam Berita Pendidikan di
http://www.al-amin.edu.my

No comments:

Post a Comment