Saturday, January 24, 2015

PERADABAN SEJAHTERA DAN NEGARA RAHMAH



Nor Zalmiah Jahidin[1]

‘Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmah ke sekelian alam’ (al-Anbiyaa : 107)

Rasulullah SAW membangkitkan kesedaran kepada dunia yang lalai daripada sikap tidak endahnya dan memberi ilmu mengenai kriteria di antara kebenaran dan kepalsuan serta memberi amaran dengan jelas tentang jalan-jalan yang menuju kejayaan dan kemusnahan supaya manusia boleh membuat pilihan (Maududi, 2009 ).

Ayat dan tafsiran di atas sering menjadi rujukan apabila membicarakan tujuan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ia menjadi asas untuk memperincikan peradaban sejahtera yang akan memberi makna kepada Negara Rahmah.

Negara Rahmah menurut Maqasid al-Shariah

Dalam tahun ini, 2014, dunia Islam telah dikejutkan oleh satu dapatan yang menyimpulkan bahawa negara Ireland diikuti oleh Denmark dan Luxembourg mencapai kedudukan tertinggi menurut ‘Islamicity Index’ (bagaimana hampirnya mereka mengapplikasi prinsip-prinsip dari al-Qur’an) dengan melepasi kedudukan majoriti negara-negara Islam yang lain (IslamiCommentary, 2014). Apakah maknanya ini? Adakah ibadah mereka lebih khusyu’ atau hubungan mereka dengan Allah SWT lebih hampir atau mereka lebih Islamik dari segi pemakaian dan penampilan luaran atau telah melaksanakan Shari’ah? Benar, tidak dinafikan orang Islam lebih menonjol atau menjuarai aspek ini, tetapi di manakan kedudukan dunia Islam dari aspek, keadilan, rahmah, mengamalkan hikmah dan membawa kebaikan bersama (Audah, 2008). Sebagai penjelasan, index ini mengukur sejauh mana dipastikan keadilan dalam pencapaian ekonomi, stuktur pentadbiran yang sah, hak kemanusian dan politik (tiada penindasan dan tiada yang jadi pemerhati sahaja) dan hubungan internasional yang seimbang IslamiCommentary, 2014).

Jasser Audah dalam bukunya ‘Maqasid Shari’ah : A Beginners Guide’ menyimpulkan bahawa empat prinsip universal yang dinyatakan di atas tadi merupakan sebahagian daripada objektif yang ingin dicapai dalam perlaksanaan Shari’ah. Ini dibuktikan oleh ayat-ayat suruhan dan amaran di mana ia adalah berorientasikan pencapaian matlamat iaitu menjaga masalih (m. maslahah) individu dan masyarakat serta melancarkan pembaikan dan kesempurnaan (Kamali, 2008). Di antaranya ialah ‘sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar’ (29:45), ‘dan dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu’ (2:179), mengenai zakat, ‘supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu’ (59:7), ‘supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka’ (24:30) dan dalam ayat-ayat larangan di antaranya adalah untuk menghalang ketidak adilan, rasuah, bersangka buruk, eksploitasi, riba, ‘hoarding’ dan perjudian (Kamali, 2008).

Maqasid al-Shari’ah dianggap agak baru memasukki bidang perbahasan tetapi berkembang menurut zaman. Bermula dari kurun ke 4 dengan penekanan kepada : 1. Memelihara Din, Memelihara Nyawa, 3. Memelihara Keturunan, 4. Memelihara ‘Aqal, 5. Memelihara Harta, maqasid al-shariah terus berkembang kepada masalih yang lebih inklusif dan universal. Sebagi contoh memelihara maruah, memenuhi kontrak, memelihara pertalian keluarga, memelihara kebajikan dan sokongan masyarakat, memelihara perkembangan ekonomi dan memperkukuhkan R&D manakala memelihara ‘aqal berkembang kepada penyebaran pemikiran saintifik, menyemarakkan pencarian ilmu, mengekang ‘herd mentality’ serta mengelak ketirisan minda, memelihara maruah berkembang kepada memelihara hak-hak kemanusiaan dan memelihara agama berkembang kepada kebebasan agama menurut Ibn Ashur berdasarkan al Qur’an (2:256) atau kebebasan kepercayaan menurut terma kontemporari (Audah & Kamali, 2008). Penghuraian Maqasid al-Shari'ah menurut terminologi kontempotari berupaya menjadi 'tool for renewal and reform' dalam sesebuah peradaban yang sejahtera. Sebagai kesimpulan, apa sahaja yang memberi mafaat kepada individu dan masyarakat selagi tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip boleh digolongkan dalam maslahah yang ingin dicapai. Peradaban sejahtera yang sebeginilah yang menjadi sebahagian daripada ciri-ciri negara Rahmah.

Untuk membawa Malaysia menuju Negara Rahmah sebagai cerminan peradaban sejahtera, perkara-perkara asas ini mesti berlaku

1. Prinsip-prinsip universal yang ingin dicapai dan dirasai atau dilaksanakan mesti wujud :

a) keadilan dalam memberi hak
b) hikmah dalam membuat tindakan/keputusan
c) rahmah dalam menyantuni atau bertindak
d) memberi kebaikan kepada semua

2. Prinsip-prinsip di atas adalah bertujuan supaya Maqasid Shari'ah terjamin atau terpelihara

a) Memelihara Agama
b) Memelihara Nyawa
c) memelihara Aqal
d) Memelihara Keturunan
e) Memelihara Harta
f) Memelihara Maruah

 Selari dengan perkembangan hari ini yang berkaitan dengan 'renewal & reform' khususnya 'civilizational renewal', 6 perkara di atas telah diperkembangkan lagi bersesuian dengan terminology hari ini. Di antaranya tiada paksaan dalam agama (utamakan dialog), memelihara kesejahteraan keluarga, kebebasan bersuara untuk menerima perbezaan pendapat, kebebasan untuk mengembangkan kekayaan/harta dengan cara yang terhormat serta kebebasan untuk memelihara hak-hak asas seorang manusia.

3. Dengan pre requisite yang dinyatakan di atas, untuk membawa Malaysia menuju Negara Rahmah bermakna segala aspek dan bidang kehidupan dalam Negara seperti sosial (kemasyarakatan), ekonomi, perbandaran, kesihatan, kesihatan, undang dan kehakiman, pendidikan, perlembagaan, agama, kesusateraan dan kebudayaan dan lain-lain mestilah memastikan 2 perkara di atas dan cabang-cabangnya dipenuhi. Perincian kepada setiap satu samada perancangan dan tindakan, perlu dimuzakarah dan dibengkelkan. 

Yang paling utama, perlu difahamkan bahawa shari'ah bukan hudud. Ianya lebih luas dan merangkumi bidang-bidang mu'amalat, munakahat, jinayat dan ibadah. Keindahan Islam (1 & 2) itu yang perlu diserlahkan manakala hudud adalah had-had (boundary/limit) yang perlu dipatuhi.

Peradaban Hari Ini dan Masa Hadapan : Satu Anjakan

Islam hari ini dan masa hadapan tidak boleh lagi dilihat sebagai lemah, lesu, mundur dan ketinggalan zaman.

Islam hari ini dan masa hadapan tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada slogan dan kekuatan emosi.

Islam hari ini dan masa hadapan menuntut Islam diterjemah dan diamalkan menjangkau agama, budaya, dan cara hidup.

Islam hari ini dan masa hadapan perlu diperjuangkan bukan sahaja sebagai agenda politik dan sosial semata-mata.

Islam hari ini dan masa hadapan memerlukan intelektual-intelektual untuk melaksanakan agenda perubahan pemikiran.

Islam hari ini dan masa hadapan perlu dibina di atas kekuatan pemikiran Islam yang merangkumi ilmu-ilmu kalam, tasawwuf, falsafah, dan shari‘ah.

Islam hari ini dan masa hadapan menuntut pemahaman fard ‘ayn yang berkembang selari dengan kematangan, pemikiran, kedudukan, status, dan pertanggungjawaban.

Islam hari ini dan masa hadapan menuntut pemahaman menegakkan fard kifayah adalah lebih diutamakan dalam suasana dan persekitaran yang asing [
al qiamu bifardi al-kifayah ahammu min fard al-'ayn, abu Imam al-Juwayni - jika sekiranya menegakkan fard al-kifayah itu lebih penting, maka mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan adalah dituntut dan menjadi fard 'ayn bagi yang boleh memenuhinya (dialah satu-satunya yang dipertanggungjawabkan dalam bidang itu)]

Islam hari ini dan masa hadapan memerlukan ilmuan-ilmuan yang berupaya melaksanakan ijtihad untuk menterjemahkan prinsip dan konsep dari tasawwur al Islam kepada situasi yang berubah-ubah (‘contemporary Islamic’ Asalah)

Islam hari ini dan masa hadapan memerlukan fiqh al haraki untuk menyokong fiqh al hadharah ke arah merealisasikan satu peradaban yang mu’asirah

Islam hari ini dan masa hadapan mesti diterjemahkan sebagai satu peradaban yang dinamik dan hidup dengan mengamalkan ciri, prinsip, dan nilai yang unik dan agung dalam struktur hidup beragama dan kemasyarakatan, pemerintahan dan politik, ekonomi dan kewangan, keutamaan serta penekanan saintifik dan teknologi, senibina dan pelan perbandaran, pendidikan dan pembangunan insan, serta kesenian dan kesusasteraan.

Hanya dengan cara memahami dan mengkaji Islam sebagai satu peradaban masa hadapan yang hidup dan dinamik, barulah keadilan sepenuhnya berlaku kepada Din al Islam di atas keyakinan dan keimanan bahawa Islam adalah sempurna dan lengkap yang membawa kesejahteraan kepada kehidupan di dunia dan akhirah di atas sifatnya sebagai rahmatan lil ‘alamin.
 

Peradaban Menjadi Asas Negara Rahmah
 
Berasaskan kepada kata akarnya, din mempunyai pelbagai manifestasi seperti rasa berhutang, penyerahan diri, kuasa kehakiman, dan fitrah. Satu daripada nama terbitannya ialah madina iaitu satu perbandaran yang berperanan sebagai sebuah negara di mana Madinah di zaman al-Rasul SAW adalah permulaan kepada pembentukan satu peradaban Islam. Bermula dari saat Islam bertapak di Madinah dan selanjutnya, Islam berhenti diamalkan sebagai hanya satu agama, atau satu sistem etika, atau hatta sebagai satu institusi politik. Sebaliknya, Islam berkembang sebagai peradaban yang merangkumi satu cara hidup lengkap dalam membimbing dan mengawal semua aspek kehidupan individu dan masyarakat. (al-Attas, 1996)
 
Malangnya, setiap kali penulis-penulis dan intelektual Islam membincangkan Islam sebagai satu peradaban, ia sentiasa berkisar di sekitar peradaban yang telah menjadi sejarah, tidak sekali-kali sebagai peradaban kontemporari atau masa hadapan. Dengan cara menghadkan aspek-aspek peradaban Islam kepada sejarah semata-mata, mereka secara tidak langsung telah mengabaikan Islam untuk masa hadapan. Perbincangan hanya berkisar di sekitar sama ada aspek-aspek Islam yang telah nyata seperti akhlaq dan keimanan, kegemilangan-kegemilangan silam, dan lebih malang membekukan lagi sekumpulan fiqh, pemikiran undang-undang, dan falsafah keilmuan yang seolah-olah sudah tidak boleh dikembangkan lagi. Hanya dengan menawarkan Islam sebagai satu peradaban yang hidup, dinamik, dan mempunyai warisan intelektual yang berupaya mezahirkan institusi dan kepelbagaian pendekatan untuk menangani permasalahan, maka barulah generasi Islam hari ini mampu berdepan dengan cabaran dan ancaman ideologi, falsafah, dan pemikiran yang asing serta budaya dan ‘agama’ lain. (Sardar, 1985)
 
Pendekatan

Usaha pembinaan peradaban Islam harus bermula dengan proses penjelasan mengenai pandangan alam Islam yang merangkumi
prinsip-prinsip dan konsep-konsep asas dalam Islam yang terdiri daripada ketuhanan, kerasulan, hari kebangkitan,  kejadian manusia dan alam, ilmu serta nilai. Pandangan alam yang hakiki ini bakal memperbetul dan meperkukuhkan pegangan, pemikiran, dan tindakan setiap individu Muslim sebagaimana yang berlaku pada fasa awal Islam. Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap perlu diterjemahkan dalam bentuk satu peradaban di mana setiap individu di dalamnya terdidik dengan aqidah, iman dan adab Islami. Sebagai khulafa’, mereka berusaha untuk membangun dan mengerakkan institusi-institusi menurut prinsip, ruang dan polisi yang shar’iyyah dalam zaman dan situasi yang berubah-ubah.
 
Kumpulan ilmuan yang berpegang dengan ‘Islam sebagai satu cara hidup’ tidak boleh berpuas hati setakat menyatakan semula pendekatan-pendekatan klasikal dan tradisi seolah-olah ilmuan-ilmuan dan imam-imam terdahulu telah menyelesaikan segala permasalahan. Pendokong gerakan Islam hari ini dituntut untuk pergi lebih jauh daripada itu dengan menyediakan alternatif dan penyelesaian yang jelas Islamik kepada segala macam permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat hari ini. Proses pembinaan tamadun Islam mesti berlaku secara teori dan praktikal di mana pembinaan ini memerlukan usaha dari sebilangan ilmuan yang datang dari pelbagai latar belakang pendidikan dan disiplin. Mereka dikehendaki supaya menumpu dan memfokuskan keupayaan kepada usaha yang berbentuk inter-disiplin yang menjurus kepada pembinaan tamadun Islam untuk hari ini dan masa hadapan. Peradaban Islam adalah satu ‘historic continuum’ iaitu ia telah wujud sebelum ini, boleh wujud pada hari ini, dan akan wujud pada masa hadapan. Apa yang lebih penting ialah setiap langkah untuk hari esok memerlukan penghuraian yang lebih mendalam dan kontemporari terhadap pandangan alam Islam. Kefahaman yang benar tentang pandangan alam Islam akan menghasilkan tindakan yang selari bagi mendokong peranan sebagai abid dan khalifah iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT serta melaksanakan tanggungjawab untuk mewujudkan kesejahteraan kepada alam dan ummah. Untuk ini, ia memerlukan satu kerahan intelek di atas prinsip ijtihad yang dinamik supaya prinsip dan konsep Islam boleh bergerak selari dengan situasi yang berubah-ubah untuk ditranslasikan di dalam sesebuah peradaban hari ini dan masa hadapan. Eksplorasi untuk menterjemahkan Islam sebegini perlu dilakukan dalam keseluruhan julat konsep-konsep Islam yang tulin seperti tawhid, khilafah, ‘adl, ‘ilm, ta’dib, ijma’, maslahah, istislah, istihsan, ‘ibadah, iman, zulm, halal, haram, riba, dan lain-lain. (Sardar, 1985).
 
Kehidupan al-Rasul SAW adalah satu contoh penerusan tindakan-tindakan yang berorientasikan masa hadapan dan pembentukan ‘taqdir’ yang terangkum di dalam spektra kemungkinan yang boleh direalisasikan (Sardar, 1985). Al-Rasul SAW menjangkakan kemungkinan-kemungkinan masa hadapan sebelum mengambil tindakan sebagaimana Hijrah al-Rasul SAW dari Makkah ke Madinah yang bersandarkan jangkaan masa hadapan yang lebih ‘viable’ bagi sekumpulan kecil pendokong Islam ketika itu. Begitu banyak contoh yang ditinggalkan oleh al-Rasul SAW yang menjanjikan jangkaan positif pada masa hadapan di antaranya ialah perjanjian ‘Aqabah dan Hudaibiyyah, penetapan Sahifah al-Madinah (hak asasi dan pertahanan), mengasaskan institusi-institusi seperti masjid, pendidikan (ahl al-Suffah) dan ekonomi (zakat, bait al-mal, awqaf) serta perhubungan internasional (jemputan kepada Pembesar-Pembesar Negara untuk menerima atau bernaung di bawah Islam). Sirah dan Sunnah al-Rasul SAW perlu di ambil sebagai khazanah yang mengandungi prinsip, data, struktur dan hikmah bagi menghasilkan disiplin-disiplin baru atau rumusan-rumusan berbentuk teori untuk mendapatkan penyelesaian bagi permasalahan politik, sosial, ekonomi dan aspek-aspek lain bukan sekadar memastikan ketepatan fakta, peristiwa, percakapan dan perlakuan.

Bersandarkan contoh yang ditunjukkan oleh al-Rasul SAW, pendokong gerakan Islam hari ini mesti berupaya untuk melahirkan satu senarai yang lengkap mengenai kaedah-kaedah alternatif bagi menjelmakan semula peradaban Islam yang dinamik dan hidup pada zaman ini. Ianya perlu disuburkan oleh tindakan dan pemikiran yang berorientasikan masa hadapan. Justeru, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk kefahaman bahawa Islam menawarkan satu pandangan hidup yang lengkap dan mampu dijelmakan sebagai sesuatu yang sistematik, praktikal, dinamik dan menyeluruh. Islam sebagai peradaban yang merangkumi agama, budaya, dan cara hidup ianya menawarkan masa hadapan yang sejahtera : di dunia dan di akhirat.
 
"Our task is to dream and work for the future -- for a time when a new Muslim civilization will emerge -- a dynamic, thriving, growing, healthy and happy civilization; a civilization in which man will be at peace with himself, with the physical environment and, above all, with his Creator. In the meantime, we must plan and produce the prerequisites for such a civilization." (Siddiqi, 1996)
 
 
Rujukan
AbuSulayman, ‘AbdulHamid A. 1993. Crisis in the Muslim Mind. Herndon : IIIT
 
al-Attas, Syed Muhammad Naquib, 1999. The Concept of Education in Islam. KL :
ISTAC
 
Audah, Jasser. 2008. Maqasid al-Shari’ah : A Beginner’s Guide. London & Washington : IIIT
 
IslamiCommentary. Available at
 
Kamali, M. H. 2008. Maqasid al-Shari’ah Made Simple. London & Washington : IIIT
 
Maududi, S. A. A. 2009. The Meaning of the Qur’an. available at
            http://www.englishtafsir.com/Quran/21/index.html [Accessed on 13 October 2014]
 
Nor Zalmiah Jahidin, 2009. Treatment of Knowledge :The Case of Al-Biruni and Ibn Battuta.        Unpublished PhD Thesis : ISTAC, IIUM
 
Sardar, Ziauddin. 1985. Islamic Futures : The Shape of Ideas to Come. London and New
York : Mansell Publishing Limited
 
Siddiqi, K. 1996. Stages of Islamic Revolution.
 
Wan Daud, Wan Mohd Nor. 1998. The Educational Phillosophy and Practice of Syed
Muhammad Naquib Al Attas : An Exposition of the Concept of Islamization.
Kuala Lumpur : ISTAC
 



[1] Ahli Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya & Ahli JKW Selangor 2014 – 2016.

No comments:

Post a Comment