Bertolak dari penerimaan Islam hanya sebagai warisan, fikrah yang ditanam dan dibaja telah membenihkan kefahaman, kesedaran dan penghayatan yang syumul terhadap Islam. Islam yang diterima atas dasar kebebasan memilih menatijahkan amalan penuh sedar dan bertanggungjawab. Justeru, rahmah yang dibawa oleh Islam ingin dikongsi, dirasai dan disebarluaskan dikalangan manusia sejagat. Langkah disusun, keseragaman dibentuk, dan kekuatan dijana dengan terbentuknya satu harakah di mana ahli-ahlinya mendokong dan berkerjasama untuk menyuburkan tarbiyyah, menyemarakkan ukhuwwah dan menyebarkan dakwah. Persoalan selanjutnya, apakah yang ingin dijelmakan dalam kehidupan yang sementara ini sebagai kayu ukur bahawa peranan ahli-ahli sebagai ‘ibad dan khulafa’ telah disandang dengan jayanya selaras dengan bidang kemampuan dan kepakaran masing-masing? Cukupkah dengan perlaksanaan aktiviti-aktiviti dan program-program kebersamaan yang menjurus kepada islah dalam setiap aspek? Apakah perlaksanaan Shari’ah dan pembentukan sebuah Negara Islam menjadi ‘the ultimate aim’? Adakah Islam yang bersifat sejagat dan inklusif itu membenarkan hanya manusia mukmin sahaja yang mengecap dan menikmati keadilan, kesamarataan, kebebasan, kebaikan, dan peradaban sejahtera yang ditawarkan oleh Islam?
Keperluan Fiqh al-Harakah kepada Fiqh al-Hadharah
Fiqh al-Harakah memberi kefahaman bahawa untuk menegakkan kembali Islam, perjuangan mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Manakala Fiqh al-Hadharah menjurus kepada kefahaman penghayatan Islam secara Ilmiyyah, Ruhaniyyah dan Adabiyyah ke arah merealisasikan Peradaban Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin. Fiqh al-Hadharah adalah satu penzahiran shakhsiyyah Islamiyyah dalam kehidupan secara peribadi dan kolektif dipelbagai peringkat samada keluarga, kelompok, komuniti mahupun kenegaraan.
Fiqh al-Hadharah memainkan peranan besar dalam menangani serangan pemikiran hari ini. Hari ini, kewujudan masyarakat sebagai sebuah unit sosial begitu kompleks. Kepesatan dan dinamika perubahan yang menguasai pemikiran, tingkah-laku, kerohanian, dan kemasyarakatan memerlukan disiplin ilmu yang baru untuk dikuasai. Lebih tepat, hari ini kita berdepan dengan satu peradaban yang begitu canggih dan mencabar. Di sinilah keperluan kepada fiqh al-hadharah yang menjadi tunjang kepada fiqh al-harakah.
Fiqh al-Hadharah sebagai satu kerangka besar kehidupan adalah lanjutan dari tradisi kesarjanaan Islam berhubungan dengan peranan dan kedudukan insan dalam melaksanakan amanah sebagai 'abid dan khalifah. Jika Ilmu Peradaban Islam atau Fiqh al-Hadharah adalah kaedah atau maksud peradaban maka Fiqh al-Hadharah adalah tidak lain dari penelitian/pengkajian ilmiah/saintifik proses pembinaan peradaban Islam. Untuk merealisasikan Wawasan Ilmiyyah-Ruhaniyyah-Adabiyyah Fiqh al-Hadharah ini, satu penelitian terhadap 7 komponen utama yang menjadi tunjang kepada memahami proses pembinaan peradaban dalam konteks dan realiti kehidupan semasa hari ini iaitu epistemologi, metodologi, peradaban, modeniti, teknosains, isu semasa dan agenda bertindak perlu diperincikan (Amran Muhammad, 2009).
Pengkajian ini nanti akan memungkinkan prinsip-prinsip dan konsep-konsep yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dapat dijelmakan atau ditranslasikan di dalam situasi yang berubah-ubah atau dalam kata lain menggunakan pendekatan ‘contemporary Islamic Asalah’. Malah untuk natijah yang optimum, teks yang telah dibekalkan akan dapat difahami dan diaplikasi menurut konteks hari ini. Ia akan menzahirkan tindak-tanduk yang terbentuk oleh pandangan alam Islam yang berupaya menilai dan menganalisa permasalahan semasa dan mengutarakan penyelesaiannya dalam kerangka pemikiran Islam.
Berasaskan Fiqh al-Hadharah, dapatlah Hadharah Islamiyyah dizahirkan sebagai sebuah peradaban yang mengamalkan budaya hidup murni berteraskan keadilan, keihsanan, kebebasan, kebenaran, kesamaan dan ketamadunan dalam semua aspek kehidupan. Ini membawa maksud prinsip-prinsip asas tersebut dijelmakan dalam keagaman dan kerohanian, kemasyarakatan dan kebudayan, keilmuan dan pendidikan, kesenian dan kesusasteraan, perundangan dan pemerintahan, ekonomi, sains dan teknologi, serta persekitaran dan kesihatan.
Jika fasa Makkah adalah fasa pembentukan fiqh al-hadharah di mana pandangan alam Islam telah terbentuk bermula dengan penurunan lima ayat pertama. Peristiwa ini memulakan revolusi pemikiran di mana segala pemikiran, idea, pengibadatan dan pengamalan telah terkawal di dalam kerangka Islam. Manakala Madinah di zaman al-Rasul SAW adalah permulaan kepada pembentukan satu Hadharah Islamiyyah. Bermula dari saat Islam bertapak di Madinah dan selanjutnya, Islam berhenti diamalkan sebagai hanya satu agama, atau satu sistem etika, atau hatta sebagai satu institusi politik. Sebaliknya, Islam berkembang sebagai hadharah yang merangkumi satu cara hidup lengkap dalam membimbing dan mengawal semua aspek kehidupan individu dan masyarakat di mana hadharah terbina di atas kekuatan peribadi, keluarga serta biah yang dibayangi oleh iman dan menatijahkan kekuatan ukhuwah dan ummah. Harakah atau jamaah adalah alat untuk menjana perjuangan iaitu kehidupan berhadharah sesama ummat Islam di mana sebagai alat, harakah atau wadah boleh bertukar ganti… tetapi hadharah atau bentuk dan ciri-ciri Hadharah Islamiyyah sama sekali tidak berubah seperti yang dibina oleh al-Rasul SAW dan generasi pertama Islam dahulu.
Monday, August 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment