Kerjaya dan Cabaran kepada Kesejahteraan Keluarga
Dalam era yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran, tuntutan
ekonomi telah berjaya menarik pasangan-pasangan untuk keluar berkerjaya.
Kenaikan kos sara hidup, saiz rumah mampu milik yang makin mengecil, bersesak-sesak
di dalam kenderaan awam, kualiti pengajaran dan pembelajaran yang merosot,
tahap kecergasan yang menurun akibat kualiti pemakanan dan penjagaan kesihatan
yang mampu beli kurang bermutu serta pendapatan sang suami yang tidak berbaki
menjelang akhir bulan, semuanya menjadi dorongan yang mendesak untuk menambah
kuasa membeli dan memiliki. Justeru, ramai pasangan bersepakat untuk kedua-duanya
berkerjaya sebagai menampung kekurangan dari segi pendapatan yang sedia ada.
Hari ini ramai yang berpandangan kekukuhan ekonomi
keluarga masing-masing dapat menyumbang kepada kesejahteraan agama-sosio-budaya
masyarakat. Malang sekali keluarnya
pasangan-pasangan berkerjaya telah mengundang permasalahan dari sudut yang
lain. Di antaranya ialah terabainya pendidikan anak-anak, renggangnya hubungan
kekeluargaan, terbatasnya masa untuk menziarahi ibubapa, timbulnya masalah
psikologi akibat tekanan kerja, terbiasanya pergaulan bebas di tempat kerja
yang mengundang kepada berlakunya perhubungan jantina luar batasan yang pasti
akan mengesani keharmonian rumahtangga, pekerja ‘workaholic’ yang menghabiskan
masanya dalam dunia kerjaya dan yang paling
parah ialah lunturnya rasa hormat isteri yang berkerjaya terhadap suami
terutama bagi yang berjawatan lebih tinggi dan merasa boleh berdikari. Jadi,
dalam situasi yang sebegini bagaimanakah penyelesaiannya?
Bolehkah pasangan mencari dan mengumpul kekayaan? Bolehkah
wanita khususnya sang isteri keluar bekerja? Jika pasangan berkerjaya, siapakah
yang bertanggung jawab terhadap perbelanjaan rumahtangga? Adakah isteri secara
mutlak memiliki gaji atau upah yang diperolehinya? Apakah jenis kerjaya yang bersesuaian dengan
wanita? Bagaimanakah prasarana kerja yang kondusif bagi kedua-dua lelaki dan wanita?
Dalam situasi isteri tidak bekerja dan perlu membantu perbelanjaan ibubapa,
apakah peranan suami? Juga, bagi wanita yang rata-rata berpendidikan tinggi,
tidakkah dorongan untuk menyumbang kepada masyarakat menjadi lampu hijau untuk
berkerjaya?
Islam telah mengariskan prinsip-prinsip asas yang perlu
dihayati dalam kehidupan di dunia. Kedudukan material di sisi manusia perlu
diimbangi dengan tuntutan etika dan spiritual. Malah, kita sepatutnya memastikan
bahawa semua yang dilakukan di dunia adalah untuk akhirah iaitu melakukan
sebaiknya atau yang terbaik dari kehidupan dunia untuk mendapatkan Jannah.
Hiduplah dengan hebat di dunia tetapi pastikan perlakuan kita menjamin untuk dirahmati
dengan Jannah. Begitulah keseimbangan yang harus ada. Dalam al-Qur’an ada dinyatakan
bahawa penciptaan segala sesuatu di langit dan di bumi adalah bagi manusia
untuk dinikmati. Walau bagaimana pun manusia di peringatkan juga akan batas-batas
dan amanah yang perlu ditunaikan. Di samping mencari kesenangan hidup, di sana
ada amanah terhadap diri, keluarga dan masyarakat yang perlu ditunaikan.
Keluarnya pasangan berkerjaya adalah untuk menyelesai masalah dan bukan membawa
masalah.
Dalam era langit terbuka dan maklumat dihujung jari, terdapat
beberapa alternatif khususnya bagi wanita untuk mempunyai kerjaya yang
bersesuaian tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam khususnya dalam
pergaulan di samping masih mempunyai masa untuk pendidikan anak-anak. Dengan
yang demikian tugas asasi untuk membentuk keluarga sejahtera tidak terabai. Pendidikan
anak-anak generasi Y dan Alpha hari ini tidak semudah zaman sebelumnya.
Pasangan bekerjaya perlu mempunyai
pengetahuan dan kemahiran untuk benar-benar mengenali kecenderungan,
sikap serta cabaran terhadap generasi ini. Ia berupaya membantu mereka mengurus
dan meningkatkan kemampuan untuk memimpin diri dan orang lain, bukan
sebaliknya. Dengan kata lain, mereka tidak harus menjadi beban kepada ibubapa
sendiri atau masyarakat. Peranan dan tanggungjawab pasangan berkerjaya juga
penting dalam melaksanakan pengislahan,
membina dan menggerakkan semangat keinsafan dan kesedaran, semangat unggul ke
arah ketinggian akal budi dan kegagahan peribadi yang akan menggerakkan, mencelikkan
dan membangun kehidupan dan peradaban zamannya pada era yang sangat mencabar
ini.
Selain daripada itu, pasangan berkerjaya juga perlu mengambil
peduli serta mempunyai kepekaan terhadap masyarakat setempat khususnya dan
masyarakat global amnya. Kita tidak boleh menjadi pulau yang terasing (an island by itself) dengan menutup mata
dan memekakkan telinga kepada hiruk pikuk kegawatan di luar sana. Penyakit-penyakit
sosial seperti kecurian, rompakan, samun, rasuah yang terang-terangan atau
tersembunyi, penipuan hatta menjual diri sebagai jalan terakhir untuk menambah
pendapatan menggambarkan bukan sahaja ekonomi masyarakat itu berpenyakit malah kesihatan
agama-sosio-budaya juga bermasalah.
Pasangan berkerjaya yang terbeban dengan tekanan dan segala macam
permasalahan di tempat kerja akan kembali ke rumah dalam keadaan yang tidak
bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri dan ibubapa yang mampu
membina keluarga sejahtera. Pergolakan di atas jika tidak ditangani dengan
bijak dan berhikmah, keluarnya pasangan untuk berkerjaya bukan membawa
kesejahteraan keluarga tetapi sebaliknya. Mungkin dengan mempunyai sifat
qanaah, rida serta pengurusan mudah, ekonomi keluarga boleh menjadi titik mula
penyelesaian kepada belenggu kekusutan tidak kecukupan ini.
Keluarga yang
Sejahtera
Bagaimanakah
gambaran sesebuah keluarga yang sejahtera? Kehidupan keluarga yang dipenuhi
sakinah yang akan mengundang mawaddah wa rahmah, pasangan dan zuriat menjadi qurrata a'yun, penyejuk mata yang
mana dari mereka kita akan mendapat keselesaan dan kegembiraan, ketua keluarga
yang mempunyai sifat cemburu dengan sentiasa menjaga diri dan ahli keluarga
daripada menjadi bahan bakar di dalam neraka serta anak-anak yang merendahkan
atau menundukkan diri dengan penuh kasih sayang terhadap kedua ibubapa. Melihat
kepada kecanggihan bentuk ancaman moden terhadap kesejahteraan keluarga melalui
pelbagai media (cetak, elektronik, maya dan sebagainya) dari yang berbentuk
fizikal sehingga pemikiran, menuntut usaha pencegahan yang lebih terancang dan
berkesan bagi mengimbanginya dari terus bermaharajalela. Unsur-unsur tersebut
jika dibiarkan berkembang boleh mengundang kepada kerosakan demi kerosakan kepada agama, jati diri hatta keluarga dan
peradaban.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah
pasti membantu orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar
Maha kuat lagi Maha perkasa, (yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan
mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat,
menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada
Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)
No comments:
Post a Comment