Thursday, January 30, 2014

KENYATAAN MEDIA SEMPENA SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 1/2014




Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya, Jawatankuasa Wanita Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mengambil peduli terhadap peningkatan jenayah sosial yang berlaku dalam sesebuah institusi keluarga. Dalam seminggu dua kebelakangan ini, berita-berita yang dipaparkan di dalam media cetak dan juga elektronik adalah berkait dengan diantaranya pembunuhan anak-anak di bawah umur, mukadimah zina yang melibatkan seorang yang berkedudukan, suami menjadikan isteri semacam filem lucah, anak-anak dilatih untuk mencuri kerana kesempitan hidup dan yang terbaru ialah pembunuhan anak-anak oleh seorang bapa yang dikatakan mengalami masalah mental atau mungkin disebabkan tekanan hidup. Terdapat banyak lagi kes-kes berat yang berpotensi menggugat sesebuah institusi keluarga di mana jika disenaraikan ia merangkumi perlakuan-perlakuan yang melayakkan runtuhnya peradaban terdahulu. Fenomena ini amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran seolah-seolah tiada lagi nilai, etika dan norma yang menjadi pegangan atau wujudnya kecelaruan fahaman. 

Kurun ini sangat mencabar dengan tuntutan sosio-ekonomi mendominasi keperluan hidup manusia moden. Globalisasi serta perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi pula berjaya mencorak kehidupan. Sebagai contoh, generasi X, Y dan Z hari ini sangat terkesan dengan khususnya dunia siber. Sikap dan cara berfikir berbeza yang terhasil akan mewujudkan jurang generasi jika tidak ditangani dengan betul. Gaya hidup materialistik pula seolah-olah menghalalkan apa jua bentuk transaksi dan perlakuan. Bilangan gologan muda yang terjebak dengan bahana kad kredit juga meningkat lantas menggugat keharmonian keluarga. Manakala tuntutan kerjaya di kalangan pasangan yang berkerjaya telah mengurangkan masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak dari aspek pendidikan dan hubungan kekeluargaan. Malah tambah menyedihkan lagi,  kehadiran anak-anak tidak dirasai manakala gajet-gajet yang serba canggih menjadi pengganti teman sosial. Sementara itu, atuk dan nenek di kampung semakin merasa terpinggir hatta yang tinggal bersama pun tidak disantuni dan dihormati sepatutnya. Penyakit dan jenayah sosial yang melibatkan anggota keluarga seperti keganasan terhadap anggota keluarga, pornografi, penzinaan, pergaulan bebas, rogol, penagihan, pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan remaja, aktiviti seks bebas, vandalisme, gengsterisme, rompakan, penculikan dan pembunuhan boleh meruntuhkan sesebuah institusi keluarga. 

Paparan di atas adalah diantara faktor penghalang hatta berupaya menggagalkan kewujudan keluarga, masyarakat dan seterusnya peradaban sejahtera. Pembangunan peradaban perlu diasaskan kepada keluarga yang sejahtera. Setiap anggota keluarga mesti memahami serta memainkan tanggungjawab masing-masing dengan memenunaikan hak-hak anggota dalam keluarga terbabit sebagaimana yang telah disyari’atkan. Selari dengan itu, pendidikan yang sempurna serta kesejahteraan aqidah perlu diutamakan. Masyarakat mendambakan ketenangan di mana anggota di dalamnya dilimpahi dengan kasih sayang, disantuni dengan sopan, hormat dan lemah lembut dan dibelai manja dengan perasaan belas kasihan. Peradaban yang ditunjangi oleh masyarakat sejahtera berupaya untuk membangunkan aspek agama dan kerohanian, ibadah dan muamalah, perundangan dan keadilan, politik dan pemerintahan, pendidikan dan keilmuan, bahasa dan kesusasteraan, seni dan kebudayaan, pemakanan dan kesihatan, sains dan teknologi, ekonomi serta alam sekitar yang membawa rahmat keseluruh alam. Anggaplah kita berusaha untuk mencipta syurga di dunia sebelum berpeluang menikmati syurga di akhirah. 

Justeru, sebagai langkah untuk merealisasikannya satu Seminar Wanita dan Syariah yang memberi fokus kepada kesejahteraan keluarga akan dianjurkan. Seminar yang bertemakan ‘Memupuk Sakinah, Menyubur Mawaddah dan Rahmah’  akan diadakan pada 1 Februari 2014 di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam. Program setengah hari ini akan diisi dengan pembentangan ucaputama dengan tajuk ‘Gen X, Y, Z : Di Mana Kita, Ke Mana Kita’ yang membicarakan dari perspektif syari’ah kedudukan keluarga, tanggungjawab dan hak serta maksud keluarga sejahtera dan kesan kepada pembentukan masyarakat dan peradaban di mana kedudukan generasi X, Y, Z akan disentuh. Ia akan disusuli dengan satu bualbicara yang akan berkisar sekitar tajuk ‘Yang Muda diSayangi, Yang Tua diSantuni’ yang akan lebih tertumpu kepada senario kekeluargaan hari ini dan seterusnya menyarankan langkah-langkah menangani permasalahan yang wujud untuk membentuk keluarga sejahtera. Objektif yang hendak dicapai oleh Seminar Wanita dan Syariah ini adalah :

1.              Mendedahkan konsep, prinsip dan tanggungjawab kekeluargaan dari perspektif Syariah
2.              Meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan kesejahteraan dalam keluarga terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban
3.              Memberi pendedahan dan kefahaman tentang kesan hubungan kekeluargaan yang longgar terhadap pembangunan masyarakat dan seterusnya peradaban 

Seminar ini mengaitkan Wanita dengan Syari'ah adalah kerana:
i.                    Masyarakat khususnya wanita perlu dimesrakan dengan Syari'ah dan juga sebagai usaha   untuk mempopularkan serta membiasakan masyarakat dengan Syariah
ii.                   Ia adalah satu usaha untuk membuang pandangan negatif terhadap Syariah. Syariah sering disalah fahami sebagai hudud sahaja, berunsur barbaric, mundur (ketinggalan zaman), tiada kebebasan, serius seperti hiburan tidak dibenarkan, tiada pembicaraan tentang hal-hal keduniaan dan lain-lain lagi.
iii.                Seminar ini berhasrat untuk memperkenalkan Syariah dalam skop yang lebih luas, inklusif dan bertetapan dan selari dengan nilai-nilai universal,
iv.                 Ingin memberi kefahaman bahawa Syari'ah itu adalah tatacara mengendalikan seluruh aspek kehidupan (muamalah, ibadah, jenayah, munakahat, politik, undang-undang termasuk hudud) dengan mengenengahkan/menekankan prinsip-prinsip seperti keadilan, hikmah, membawa rahmah dan memberi kebaikan. Dengan erti kata lain, Syari'ah adalah tidak bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan.

Justeru, Slot 1 (ucap utama) iaitu Kenali Syariah, biasanya mengenegahkan  pandangan Syariah terhadap isu yang menjadi fokus seminar seperti anak muda & cabaran globalisasi, wanita & kerjaya dan untuk kali ini keluarga sejahtera & hak/tanggungjawab. Secara umum, objektif perkaitan Wanita dan Syari'ah ialah : Wanita kenal seterusnya menerima Syari’ah, manakala secara khususnya ialah : i. Wanita Islam mengamalkan Syari’ah sebagai satu tatacara untuk mengendalikan kehidupan, ii. Wanita belum Islam menyokong perlaksanaan Syari'ah.

Sehubungan dengan ini, kami menyeru semua anggota masyarakat serta yang berwajib untuk memainkan peranan masing-masing yang saling lengkap melengkapi sebagaimana yang digariskan menurut skop penguasaan bidang masing-masing. 

Dr Nor Zalmiah Jahidin
Penasihat Seminar Wanita dan Syari’ah 1/2014
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Jaringan, Wanita & Syari’ah
Wanita Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya
31 Januari 2014

No comments:

Post a Comment