Sunday, May 9, 2010

Islam : Bagaimana Harus Ia di Persembahkan

Islam yang di tanzilkan oleh Allah SWT bersifat shumul, sejagat dan bersesuaian untuk sepanjang zaman. Ini kerana Islam merangkumi pandangan alam yang berkisar di sekitar prinsip dan konsep asas yang boleh diterjemahkan dalam bentuk model-model untuk dipraktikkan menurut zamannya. Prinsip dan konsep ini bertujuan untuk membentuk pemikiran dan kefahaman shumul tentang Islam yang menjangkau aspek agama dan budaya atau cara hidup. Malah untuk kemashalatan hari ini, Islam perlu diterjemahkan sebagai satu peradaban yang merangkumi aspek agama dan kerohanian, ibadah dan muamalah, perundangan dan keadilan, politik dan pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan keilmuan, seni dan kesusasteraan, kebudayaan, pemakanan dan kesihatan, sains dan teknologi serta alam sekitar. Cabaran dan permasalahan kontemporari hari ini memerlukan satu model penyelesaian dalam kerangka pemikiran Islam yang berlandaskan satu pandangan alam yang sahih.

Pandangan alam Islam yang berkisar di sekitar ketauhidan, kerasulan, tujuan dan kejadian insan, akhlaq dan nilai, ilmu, serta kejadian dan kesudahan alam akan menjadi benteng yang kukuh untuk menepis segala macam kecelaruan serta kekeliruan yang terhasil dari pandangan alam Barat. Pandangan yang salah ini telah berjaya membentuk pemahaman dan pemikiran sebilangan besar Ummah berhubung dengan aspek-aspek agama, ilmu, adab dan pendidikan, sains dan teknologi, tradisi, kemodenan serta pembangunan. Satu penjajahan pemikiran secara senyap ini telah menghasilkan satu nilai, budaya, pemikiran malah pegangan yang asing di kalangan generasi Muslim hari ini. Oleh kerana itu, tindakbalas yang terhasil atau penyelesaian yang ditawarkan kepada permasalahan hari ini bukanlah penyelesaian sebenar malah menghasilkan masalah baru atau membawa kepada lebih banyak kemusnahan.

Untuk menterjemahkan Islam sebagai satu peradaban, pembelajaran kurikulum tradisi pendidikan Islam perlu disampaikan dalam bentuk pandangan alam. Dua pra-sharat untuk melaksanakan ini ialah :

i) Kurikulum tidak harus dipisah-pisahkan kepada bidang-bidang yang tradisi tetapi menyepadukan aspek-aspek aqidah, ibadah, akhlaq, sirah serta al-Qur’an dan al-Hadith.

ii)Pendekatan pengajaran dan pembelajaran harus berbentuk multi-disiplin dan inter-disiplin, hikmah diserlahkan, ‘izzah dipupuk dan pengumpulan maklumat yang terlampau dielakkan.

Ilmu-ilmu Islam perlu diolah supaya berasaskan bidang-bidang utama berikut :


1. Sumber Pemikiran Islam

2. Pandangan Alam Islam

3. Asas-Asas Peradaban Islam

4. Fahaman Kontemporari (Fiqh al-Mu'asirah atau Fiqh al-Waqi')

5. Program Khalifah



Pemikiran Islam adalah bersumberkan wahyu dan akal. Wahyu yang terkandung di dalam al-Qur’an dan diterjemahkan oleh al-Sunnah telah dikembangkan lagi dengan penggunaan akal fikiran yang terpimpin. Oleh kerana itu perkembangan pemikiran Islam merangkumi skop yang luas seperti ulum al-qur’an, ulum al-hadith, usul al-fiqh, ilmu kalam, tasawwuf, falsafah, logik dan sains.

Pandangan alam Islam berkisar di sekitar prinsip-prinsip dan konsep-konsep asas dalam Islam yang terdiri daripada ketuhanan, kerasulan, kejadian manusia dan alam, ilmu serta nilai. Kesimpulanya bahagian ini akan tertumpu kepada iman,Islam dan ihsan serta perkara-perkara yang berkaitan untuk menjelaskan lagi prinsip dan konsep yang dibincangkan.

Sirah al-Rasul SAW menjadi asas rujukan kepada peradaban Islam kontemporari. Usaha dan sumbangan awal oleh Khulafa’ al-Rashidun diikuti dengan pemerintahan Islam sebelum dan selepas serangan Tartar memberi kefahaman mengenai bentuk peradaban terdahulu dalam mana terbentuk sistem-sistem dan institusi-institusi yang mendokongnya. Berpandukan prinsip-prinsip asas dari al-qur’an dan al-sunnah serta model-model ini, satu bentuk peradabanan kontemporari dapat direalisasikan.

Kehidupan hari ini memerlukan kefahaman yang sebenar tentang realiti dan perubahan. Keadaan masyarakat dan Ummah hari ini terbentuk atas sebab pelbagai faktor. Usaha untuk mengenal pasti faktor-faktor ini penting supaya satu penyelesaian yang sahih dapat diutarakan. Cabaran pemikiran, globalisasi, sains dan teknologi serta perubahan dan pembangunan perlu dinilai mengikut kerangka pemikiran Islam. Selanjutnya, menawarkan usaha-usaha pembaikan.

Program Khalifah memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan teori dalam situasi yang sebenar. Ia juga memberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat, ummah dan alam. Program ini juga perlu membentuk pelajar secara keseluruhan termasuk memperkenalkan Islam kepada Ummah.


Dengan pendedahan yang sebegini, pelajar-pelajar dapat membentuk jatidiri Islam dari aspek pemikiran, penghayatan, kejiwaan dan kemasharakatan. Pelajar juga berupaya melihat kepada cabaran dan permasalahan kontemporari selari dengan kepesatan kemodenan, sains dan teknologi, dan pembangunan menurut pandangan alam Islam serta berupaya menawarkan penyelesaian berpandukan contoh-contoh dari peradaban Islam terdahulu. Dengan itu pelajar dapat menghayati peranannya sebagai ‘abid dan khalifah yang akan menjurus kepada membawa rahmatan li al-‘alamin bersandarkan keupayaannya :



1. Memahami dan menghayati keshumulan Islam.

2. Memahami dan menghayati pandangan alam Islam.

3. Memahami dan menghayati peranan sebagai ‘abid dan khalifah ke arah
pembaikan diri, ummah dan alam.

4. Menilai dan meanalisa permasalahan semasa.

5. Menyelesai permasalahan semasa menurut kerangka pandangan alam Islam.

Wallahu'alam