Friday, December 24, 2010

Memupuk Semangat dan Pemikiran Saintifik serta Semangat Bereksperimentasi

Semangat atau Sikap Saintifik

Sebagai seorang Muslim, kita perlu belajar daripada sikap dan semangat yang ditunjukkan oleh cendiakawan-cendiakawan Islam terdahulu terhadap ilmu. Keseluruhan aspek kehidupan mereka berkisar di sekitar pembudayaan ilmu. Tawhid atau beriman dengan Allah Yang Esa berperanan sebagai pemacu keinginan yang berkobar-berkobar untuk meneroka kebesaran dan keagungan penciptaan Allah SWT. Sikap mereka terhadap Al-Qur’an dan al-Hadith sebagai sumber ilmu utama menjadi pemangkin kepada penemuan-penemuan ilmu yang baru. Layanan terhadap al-Qur’an sebagai al-huda serta zikrullah meletakkan mereka di atas landasan yang betul berhubung dengan ilmu yang diperolehi. Ilmu menjadi alat untuk memperolehi keyakinan serta membawa kepada mengenal al-Haqq dan selanjutnya melayakkan mereka untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di Akhirah.

Bagi cendikiawan-cendikiawan ini, semua jenis sains samada tabi’i, sosial, matematik, fizik serta kemanusiaan dan lain-lain berperanan untuk memperkukuhkan lagi kenyataan kebenaran yang terkandung di dalam shahadah iaitu prinsip Tawhid atau Keesaan Allah SWT. Hasil daripada beriman dengan Tawhid, membawa mereka kepada pengakuan dan penerimaan tentang setiap sesuatu di alam maya adalah berhubungkait di antara satu sama lain di bawah kawalan undang-undang alam maya yang satu. Oleh itu, setiap pemerhatian atau dapatan yang berhubung dengan alam atau penciptaaan yang dilakukan oleh mereka telah memperkukuhkan lagi keimanan mereka terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam mencipta dan mengawal alam semesta.

Tidaklah berlebihan jika ditegaskan bahawa kesedaran kepada Tawhidlah yang telah melahirkan semangat saintifik dari kalangan saintis-saintis Muslim terdahulu.

Pemikiran atau Minda Saintifik

Perkembangan ilmu dalam sains wahyu khususnya Ulum al-Qur’an, Ulum al-Hadith dan Usul al-Fiqh dalam kurun ke dua Hijrah / ke lapan Masihi telah meletakkan asas kepada pemikiran atau minda saintifik. Sebagai contoh, ketelitian dalam memastikan kebenaran dan objektiviti, keperluan kepada bukti empirikal yang menyokong serta kemahiran dalam mengklasifikasikan sesuatu menjadikan Muslim terdahulu telah bersedia untuk meneroka secara saintifik. Mutakallimun yang berdepan dengan falsafah dan logik Yunani serta persoalan-persoalan tentang ketuhanan telah dapat memperkayakan ilmu dan hujjah mereka. Kecintaan kepada definisi, analisis secara konsepsual atau semantik serta penekanan kepada logik yang jelas dan ketepatan khususnya dalam pemikiran berhubung dengan hukum-hukum telah memperkayakan pemikiran saintifik mereka. Apabila sains tabi’i mula diterokai oleh saintis Muslim pada kurun ke tiga Hijrah / ke sembilan Masihi, mereka telah bersedia untuk menggabungkan semangat dengan pemikiran saintifik untuk menghasilkan semangat bereksperimentasi bagi melahirkan Sains Islam.

Semangat Bereksperimentasi dalam Sains Islam

Hasil kerja saintifik yang ditinggalkan oleh al-Razi, Ibn Sina, al-Biruni, Ibn al-Haytham, al-Zahrawi, Nasr al-Din al-Tusi, Qutb al-Din al-Shirazi dan lain-lain lagi adalah kerja-kerja saintitik yang bersandarkan kajian-kajian empirikal berhubung dengan alam. Mereka melakukan pemerhatian dan eksperimen seperti menentukan diameter bumi, latitud dan longitud sesuatu tempat, ‘specific gravity’ sesuatu logam, sifat cahaya, kedudukan matahari dan bintang-bintang, kaedah-kaedah penyembuhan dan lain-lain. Walaupun Saintis Muslim menggunakan pemikiran logik, analisa matematik, pemerhatian, eksperimen malah interpretasi secara rational terhadap Kitab Agama tetapi semuanya berlaku di dalam kerangka Tawhid. Kefahaman terhadap martabat serta kesatuan ilmu dalam Islam dapat mengelakkan mereka daripada penyanjungan yang berlebihan terhadap bukti-bukti empirikal serta kaedah eksperimentasi. Mereka menerima pengalaman secara sensual tetapi akur akan keterbatasannya.

Justeru, Sains Islam yang terhasil adalah berunsur keagamaan di mana ia didasari oleh prinsip-prinsip metafizik, kosmologi, epistemologi, serta etika dan moral dalam Islam. Matlamat dan methodologi Sains Islam amat jelas berbeza dengan Sains Moden. Sains Moden telah dimungkinkan penemuaannya oleh keperhatinan terhadap aspek ‘particular’ berbanding dengan aspek abstrak yang menjadi ciri falsafah Yunani. Dengan mencabar beberapa asas falsafah Yunani yang bersifat mekanikal, ia telah memberi ruang untuk Sains Moden berkembang.

Sains Islam, Sains Moden dan al-Qur’an

Saintis Muslim terdahulu telah berjaya mengunjurkan satu bentuk sains yang terhasil dalam kerangka pandangan alam Islam. Ia adalah satu bentuk sains yang menepati undang-undang alam semula jadi iaitu Sunnatullah dan oleh itu, ia membawa kesejahteraan kepada manusia dan alam. Usaha untuk menyerlahkan pembezaan di antara Sains Islam dan Sains Moden telah dipelopori oleh beberapa nama besar dekad ini. Sains Moden jelas berlawanan dari segi falsafah, methodologi dan matlamat namun tidak dinafikan ada teknologi yang bersifat neutral dan memberi keselesaan kepada kehidupan duniawi.

Justeru, keghairahan untuk memadankan penemuan Sains Moden dengan ayat-ayat al-Qur’an telah mengundang sedikit kontoversi. Persoalan yang timbul dari usaha ini ialah :

i) bagaimana mungkin al-Qur’an membenarkan Sains Moden yang mempunyai falsafah, methodologi dan matlamat yang berbeza atau dengan erti kata lain Islam tidak bertentangan dengan Sains Moden
ii) mereka yang menemukan Sains Moden ini tidak pernah merujuk kepada al-Qur’an.
iii) orang-orang Islam menggunakan kajian, pendapat atau penemuan berhubung Sains Moden untuk mengukuhkan keyakinan terhadap ayat-ayat al-Qur’an.
iv) berkemungkinan data empirikal yang berbeza akan menghasilkan penemuan baru yang mungkin bercanggah dengan penemuan sebelum ini yang telah dibenarkan oleh sesuatu ayat dari al-Qur’an
v) seolah-olah telah memandang sepi usaha serta penulisan-penulisan akademik dekad ini yang mencanggahi Sains Moden atau mempelopori pembinaan Sains Islam
vi) Implikasinya ialah ummat Islam tidak berusaha mencontohi Saintis Muslim terdahulu dari aspek semangat, pemikiran dan sikap sebaliknya hanya menanti orang lain untuk membuat penemuan-penemuan baru dan usaha kita hanya setakat membenarkan penemuan-penemuan itu. Kesannya secara implisit ialah ummat Islam tidak perlu bimbang kerana penemuan sains (sains moden) boleh dibuktikan oleh al-Qur’an dan ini akan menjadikan ummat Islam pasif berhubung dengan pencarian ilmu dari al-Qur’an untuk medzahirkan sains.

Tindakan Seterusnya

Kita perlu menerima hakikat bahawa Sains Moden itu tidak bersifat neutral. Ilmu yang terhasil oleh sesuatu kelompok manusia itu tidak lari dari dipengaruhi oleh pandangan alam, budaya serta pegangan mereka. Pengislaman ilmu kontemporari boleh dijadikan sebagai usaha yang bersungguh-sungguh. Pengislaman yang dimaksudkan adalah berbentuk :

Takrif : Pengislaman atau Islamisasi ialah daya usaha untuk membebaskan
i) manusia daripada ikatan kepercayaan terhadap kekarutan kuasa ghaib (magical), mitos (mytholological), tradisi tahyul (animistic) dan tradisi kebudayaan kebangsaan (national-cultural tradition) yang bertentangan dengan Islam
ii) aqal (reason) dan bahasa dari kongkongan dan pengaruh secular (secular control)
iii) diri dari penyerahan kepada tuntutan-tuntutan jasmani yang cenderung kepada sesuatu yang sekular dan zalim terhadap dirinya yang sebenar serta menjadi jahil tentang matlamatnya yang sebenar dan tidak berlaku adil terhadap dirinya yang sebenar itu.
Proses : Islamisasi adalah proses dua hala iaitu pembebasan diri (liberation) dan
pengembalian diri (devolution) kepada kejadian asalnya iaitu fitrah.

Secara praktikalnya, usaha pengislaman atau islamisasi ini perlu merangkumi dari :
i) sudut falsafah : membezakan antara falsafah sains Islam dengan sains moden
ii) sudut sejarah : menghayati pandangan alam Islam dan sikap terhadap al-Qur’an dan ilmu yang telah dan akan membawa kepada perkembangan Ilmu
iii) sudut perlaksanaan dan penterjemahan Sains Islam secara praktikal


Wallahua’lam

Rujukan

Ahmad Bazli Shafie. (2001, September). Islamisasi Ilmu. Kertas Kerja dibentang semasa Seminar Pendidikan Nasional anjuran Pusat Pendidikan Al-Amin.

Osman Bakar, (1999). The History and Philosophy of Islamic Science.
Cambridge : Islamic Text Society

Shaharir Mohd. Zain. (2004, Ogos). Pengamiran Islam dengan Sains : Gusutan dan Pelepasnya. Jurnal Pendidikan Islam, Jilid 11 Bil 1.

Sunday, December 12, 2010

Di Mana Sebenarnya Terletak Mu'jizat al-Qur'an

Fakta-fakta saintifik yang telah terbukti?

Ramalan-ramalan yang telah berlaku?

Gandaan angka 19 yang mengkagumkan?

Jaminan daripada Allah SWT yang ketulinan al-Qur'an akan tetap terpelihara?

Bukankah al-Qur'an itu diperakui sebagai muk'jizat al-Rasul SAW dari awal penurunannya?

Jadi di manakah letaknya mu'jizat ini?

Hanya yang memahami Bahasa al-Qur'an sahaja yang benar-benar dapat menjiwai keajaiban al-Qur'an melalui susun atur bahasanya.

Untuk menghargai aspek ini sila layari :

http://www.youtube.com/watch?v=aWUy_luMq0Q&feature=channel

Semoga lebih bersemangat untuk mempelajari Bahasa Arab.