Tuesday, March 23, 2010

Peranan Pendidikan dalam Kebangkitan Islam dan Membina Tamadun

Penurunan lima ayat pertama daripada surah al ‘Alaq telah berjaya merevolusikan pemikiran Arab Jahiliyyah. Sebaik sahaja perkataan Iqra’ dilafazkan dan dituruti dengan dua puluh tiga tahun pendidikan secara langsung yang bersifat rabbani telah berjaya membentuk tasawwur yang menjadi tunjang kepada setiap tindakan masyarakat Islam terdahulu. Tasawwur ini telah mengubah dan membentuk kepercayaan, peribadi, pemikiran, ide, dan pengamalan mereka dan berhasil mencorakkan masyarakat di atas satu sistem yang memberi kebaikan kepada semua. Sistem yang menjamin masyarakat Islam di atas maqasid shari’ah juga menitik beratkan hak dan tanggung jawab masyarakat bukan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Sahifah al Madinah. Di atas persefahaman sebegini telah terbentuk satu kesepakatan dan kerjasama di antara setiap anggota masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik dan agama.

Berikutnya, satu tamaddun agung telah terhasil yang didasari oleh satu budaya ilmu yang sungguh mengkagumkan. Usaha sama di antara Muslim, Yahudi, Nasrani, Nestorian, Syriac, Majusi yang terdiri dari bangsa Arab, Parsi, Turki, Rum, Yunani dan juga India telah meninggalkan satu warisan intelektual yang tidak ternilai. Perkembangan dalam setiap disiplin ilmu samada dari ilmu wahyu atau ilmu aqal menjadi asas kepada disiplin ilmu yang terdapat pada hari ini. Ilmu bukan sahaja menjadi nadi kepada segenap cabang kehidupan malah ia didukung oleh usaha pendidikan yang bermula dengan ahl al Suffah dan berkembang kepada maktab atau kuttab, majlis, halaqah dan akhirnya madrasah. Akademi seperti Bait al Hikmah dan Dar al ‘Ilm, perpustakaan, hospital, saloon dan balai cerap sebagai pusat ilmu di samping ‘ulama’ (scholars) mendapat tajaan dan naungan para pemerintah. ‘Ulama’ yang dilahirkan selain dapat menguasai kedua-dua cabang ilmu, keilmuan mereka bersifat multi disiplin dan inter disiplin. Malah ramai di antara mereka yang diiktiraf sebagai ensaiklopedik. Peranan ‘ulama’ adalah sebagai pembimbing, penyelesai masalah, dan peneroka kepada bidang-bidang yang baru. Warisan intelektual peninggalan mereka telah menjadi pencetus kepada era pembaharuan (renaissance) di Barat khususnya dari khazanah ilmu di Cordova dan Toledo.

Berbalik kepada masyarakat hari ini, satu usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat mengenai peranan Islam dalam membentuk peribadi dan membina tamaddun di atas kesedaran bahawa pendidikan adalah landasan terpenting dalam membina sesebuah masyarakat yang berilmu dan bertamaddun. Peranannya adalah untuk menyokong usaha-usaha mengislahkan masyarakat di atas prinsip-prinsip sejagat yang selari dengan tuntutan Syariah Islam. Oleh yang demikian, satu perancangan yang lengkap dan terperinci mengenai landasan yang terpenting ini perlu diwujudkan. Adalah penting untuk menghasilkan hala tuju dan perancangan pendidikan yang semestinya bergerak di atas satu falsafah yang komprehensif dengan mensasarkan setiap peringkat umur, etnik dan agama.

Peranan pendidikan dalam kebangkitan Islam tidak hanya sebagai sindrom tindakbalas sebagaimana yang telah mengesani usaha-usaha sebahagian kesarjanaan kontemporari dan intelektual. Walaupun tidak dinafikan bahawa usaha-usaha ini berhasil meniupkan inspirasi serta membekalkan generasi dengan semangat kebangkitan tetapi dari pandangan intelektual ianya gagal untuk memotivasikan minda pembaca untuk berfikir (penerokaan intelektual yang dapat membezakan di antara prinsip yang perlu dipatuhi dan pemikiran yang boleh dihujjah). Adalah sesuatu yang merugikan jika kebangkitan Islam itu tidak berlandaskan di atas dasar intelektual yang sepatutnya memberikan tapak yang kukuh bagi ide-ide dan analisis kontemporari. Dengan kata lain, usaha-usaha kebangkitan mestilah berdasarkan satu sintesis epistemologi dan falsafah daripada al Qur’an dan al Sunnah yang bersifat futuristik. Realitinya, kebangkitan Islam perlu kepada perancangan, pemikiran dan perlaksanaan sistematik serta selari yang akan menjurus kepada kuasa politik dan intektual serta keupayaan saintifik, teknologi dan ekonomi yang sebenar dari kalangan pribumi sendiri. Islam adalah satu tasawwur pelbagai dimensi. Dalam merancang kebangkitan Islam, penekanan sewajarnya perlu diberikan kepada semua aspek kemasyarakatan ; ijtihad (perjuangan intelektual) mesti selari dengan jihad (perjuangan all out), ruang untuk kedua-dua persamaan matlamat dan diversity of actions perlu diberi, sejarah perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya, tetapi masa hadapan juga perlu diberi penekanan.

Usaha sosial dan aktivisme politik semata-mata tidak akan mendatangkan hasil yang berpanjangan jika bersandarkan ijtihad yang lemah. Penyelesaian yang sebenar bagi permasalahan kontemporari masyarakat Islam mesti lahir dari lubuk khazanah intelektual Islam yang unified yet diverse. Mana-mana tamaddun yang tandus dari kandungan intelek yang original dijangka akan dikesampingkan. Metodologi dan teknik pengajaran-pembelajaran terutamanya bagi subjek pengajian Islam perlu menyimpang jauh dari kaedah tradisi pengumpulan maklumat dan mengeluarkan semula teks-teks yang dihafal. Di sinilah pendidikan perlu berperanan. Keluaran pendidikan hari ini tidak hanya perlu mempunyai pemikiran dan tingkahlaku Islam yang tersendiri tetapi yang lebih penting lagi mereka bersifat kreatif dan inovatif dalam mengaplikasi dan menterjemahkan prinsip-prinsip dan konsep-konsep Islam dalam keadaan yang sering berubah.

No comments:

Post a Comment