Wednesday, June 16, 2010

Di Mana Pegangan Hidup?

Kecelaruan hidup manusia hari ini menuntut satu penyelesaian atau jalan keluar.

Pegangan hidup yang kabur, tidak tetap bahkan salah telah mendorong manusia untuk membuat pilihan yang salah lagi merosakkan.

Berapa ramai yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri apabila dihimpit dengan masalah atau tekanan hidup.

Berapa ramai bayi-bayi yang tidak berdosa menjadi korban demi menutup ketelanjuran pelaku zina yang memilih keseronokan pantas.

Berapa ramai kanak-kanak, gadis-gadis sunti, wanita-wanita tua dan kurang upaya yang menjadi mangsa hawa nafsu dek kerana teransang oleh tarikan seksual dari perempuan-perempuan yang mendedahkan tubuh mereka.

Berapa ramai yang menjadi mangsa kecederaan hatta kematian dek kerana anak, adik, abang, cucu, suami atau jiran yang kehabisan bekalan stok yang memberi kenikmatan atau keseronokan palsu.

Berapa ramai yang angkuh dan berlagak sombong dengan menindas orang lain seolah-olah kekuasaan dan pangkat yang dimiliki mereka adalah hakiki.

Berapa ramai yang diberi amanah sewenang-wenangnya memperlakukan alam serta khazanah yang ada di dalamnya sebagai hak milik peribadi hatta menidakkan hak manusia dan makhluk lain.

Berapa banyak keruntuhan rumahtangga yang berlaku dek kerana isteri atau suami dengan mudah meleraikan ikatan suci akibat dari panahan asmara yang palsu.

Betapa kuatnya tarikan kebendaan sehingga anak-anak menjadi yatim piatu seharian malah lebih lama dari itu apabila ibubapa disebukkan dengan menambahkan harta pencarian.

Betapa terhimpitnya kehidupan sehinggakan dengan mudahnya nyawa dikorbankan untuk mendapatkan seratus atau dua.

Gambaran di atas adalah sebahagian daripada kehidupan yang berlaku dalam masharakat yang tenat - masharakat yang telah hilang pegangan hidup atau masharakat yang berpegang kepada pandangan alam yang salah atau menyeleweng.

Bukankah kehidupan ini sementara dan akhirat itu kekal abadi.

Bukankah manusia itu asalnya hina dan kerdil tetapi diberi tanggungjawab untuk memakmurkan bumi agar keadilan Allah SWT dapat dijelmakan.

Bukankah alam itu dijadikan indah dan terbentang luas supaya manusia dapat merasakan kewujudan Penciptanya seterusnya memanafaatkannya dengan mentadbirnya dengan penuh rahmah.

Jawapan afirmatif kepada persoalan di atas memberi asas atau panduan kepada manusia untuk mencorakkan kehidupannya supaya sejahtera di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirah.

No comments:

Post a Comment