Sunday, November 14, 2010

Menyusun Tenaga-Tenaga Pakar ke arah Memperkasakan Ummah

Kemelut Ummah hari ini dikenal pasti oleh sebahagian besar daripada pengkaji sebagai tipisnya iman Keadaan ini dicerminkan oleh tahap kerohanian, keintelektualan serta akhlaq mereka. Peranan tenaga-tenaga pakar serta kepentingan mereka ditempatkan pada kedudukan yang sesuai perlu diberi perhatian dalam menangani permasalahan ini. Sering kali kita memberi tumpuan yang berlebihan untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan kerohanian dan akhlaq tetapi mengenepikan usaha untuk mempertingkatan intelek yang menjadi asas kepada kedua-duanya. Usaha semasa oleh mereka yang anti kepada Islam ialah untuk meruntuhkan asas ini. Mereka melibatkan diri dengan kajian yang terperinci dan spesifik berhubung dengan Din al-Islam dan mempersiapkan hujjah-hujjah bertentangan yang mampu memberi kelebihan kepada mereka terutama dalam menimbulkan keraguan berhubung dengan iman dan keyakinan kita. Oleh kerana itu, adakah memadai peranan yang dimainkan oleh sarjana-sarjana

i) al-Qur’an hanya setakat mengajar qiraat, tajwid, dan taranum dengan mengabaikan perhubungan bermakna dengan al-Qur’an dan ulum al-Qur’an?

ii) al-Hadith hanya setakat memberi tumpuan kepada pembacaan dan syarahan matan dengan mengabaikan ulum al-Hadith?

iii) Fiqh hanya setakat mengesa pengikut-pengikutnya supaya sempurna dalam fiqh al-ibadah dan fiqh al-mu’amalah dengan mengabaikan fiqh al-mu’asirah oleh kerana pandangan-pandangan alam pasca-moden sedang menenggelamkan asas-asas kepercayaan Ummah?

iv) Sirah hanya setakat menanam dalam hati pengikut-pengikutnya perhubungan emosi dengan ar-Rasul SAW, keluarganya, dan para Sahabah RA dengan mengabaikan kaedah bagaimana untuk menterjemahkan konsep dan prinsip Islam dalam masa dan suasana yang berubah?

Pada masa yang sama, tenaga-tenaga pakar dalam bidang yang berlainan terutamanya pakar sains dan teknologi mesti ke hadapan untuk menawarkan kepakaran mereka kepada bidang-bidang yang kritikal dan penting. Dalam usaha untuk memperkasakan Ummah,

i) pakar-pakar dalam media dan ICT perlu berusaha untuk memanafaat bidang ini kerana ia adalah alat yang paling berkesan dalam membentuk sikap dan perlakuan manusia.

ii) pakar-pakar sains tabi’i merebut peluang untuk meneroka tanda-tanda dan ilmu-ilmu Allah SWT yang tiada sempadan.

iii) pakar-pakar teknologi mesti terpanggil untuk membangunkan teknologi alternatif dalam kerangka falsafah dan pemikiran peradaban Islam – ini kerana teknologi yang dipinjam atau dipindah hanya akan menjadikan Ummah terikat disamping kedua-duanya mempunyai implikasi terhadap budaya dan persekitaran.

iv) pakar-pakar sains dan teknologi sebagaimana yang dicadangkan oleh seorang pemikir Islam perlu

a) melihat kepada polisi-polisi dalam sains dan teknologi yang boleh
membawa negara-negara Islam bersama dan mempamirkan kebaikan
pendekatan yang berkerjasama dan bersatu.

b) meningkatkan kerjasama sains dan teknologi di antara negara-negara Islam ke tahap di mana pengumpulan sumber-sumber manusia menjadi satu proses semula jadi.

c) melihat kepada peranan yang boleh dimainkan oleh sains dan teknologi dalam mencipta negara Ummah sejagat.

Pakar-pakar sejarah, sains sosial, geografi, matematik, pengamal perubatan, geologi, antropologi dan lain-lain mempunyai peranan dan kedudukan yang ditentukan dalam memperkasakan Ummah. Di sana mesti ada perbincangan yang serius, mengikat dan mendalam berhubung dengan Din al-Islam dan usaha untuk memperkasa Ummah dan seterusnya peradaban. Perbincangan-perbincangan ini mesti dipimpin oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Melibatkan diri dalam perbalahan yang berkait dengan urusan-urusan Din al-Islam akan hanya memberi kesan kepada generasi pelapis iaitu keraguan dalam menentukan kebenaran. Keprihatinan kita mesti ditumpukan kepada membentuk komuniti bukan ‘cult’. Membekalkan Ummah dengan kerangka falsafah dan pemikiran berlandaskan ilmu-ilmu yang sahih adalah penting untuk melindungi iman mereka. Ilmu itu sangat berpengaruh dan ia mempunyai kuasa untuk merubah Ummah. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment