Tuesday, November 29, 2011

Falsafah Pendidikan Pusat Pendidikan Al-Amin

Satu usaha pendidikan yang menyeluruh dan berterusan lagi dinamik dengan berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membangun potensi insan sebagai ‘abid dan khalifah yang dapat menegakkan satu tamadun yang sejahtera di dunia dan seterusnya mencapai kebahagiaan di akhirat.

Latar Belakang
Usaha Pusat Pendidikan Al-Amin (PPAA) dalam menyemak serta menambah baik Kurikulum Ulum Naqliyah adalah bertolak dari kesedaran bahawa pandangan alam Islam mesti diberi nafas yang segar untuk melahirkan kefahaman, pengamalan, penghayatan Islam dan seterusnya melahirkan kecintaan serta ‘izzah kepada Islam. Kehidupan yang sejahtera adalah bertolak dari perlaksanaan prinsip dan konsep yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah disamping bergerak selari dengan prinsip-prinsip murni sejagat yang diterima oleh semua masyarakat yang bertamadun. Islam mesti dilihat sebagai sesuatu yang dinamik untuk membimbing dan mencorakkan kehidupan di dunia dengan memberi kesejahteraan kepada ruh, aqal, jasmani, emosi, kemasyarakatan, persekitaran serta mahkluk lain. Kejelasan dan natijah dari semua ini diharap akan membuahkan kehidupan yang sejahtera di dunia dan selanjutnya akan memperolehi kebahagiaan di Akhirah.

Peranan Penyataan Falsafah Pendidikan
Falsafah pendidikan bertindak sebagai penyaring yang utama dalam usaha menentukan tujuan-tujuan pendidikan. Tiga unsur utama dalam pembentukan falsafah pendidikan adalah pelajar, ilmu, dan kaedah pembelajaran. Justeru, konsep manusia, epistemologi, dan methodologi mengambil kedudukan yang sentral dalam memfomulasikan sesuatu falsafah pendidikan disamping halatuju yang dipilih.

Falsafah dibentuk berdasarkan hakikat-hakikat yang melingkungi manusia dan alam. Kewujudan falsafah adalah penting untuk membantu menterjemahkan peranan pendidikan dalam ruang lingkup hakikat tersebut. Dalam erti kata lain, falsasah akan menggariskan ilmu dan/atau maklumat yang ingin disampaikan, ruang lingkup atau kaedah ianya disampaikan dan tujuan ianya disampaikan.

Penyataan Falsafah Pendidikan

Falsafah Pendidikan Islam Nasional

Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al Qur’an dan al Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Falsafah Pendidikan IKRAM-MUSLEH
Proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah melalui satu sistem yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

Falsafah Pendidikan PPAA
Satu usaha pendidikan yang menyeluruh dan berterusan lagi dinamik dengan berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi membangun potensi insan sebagai ‘abid dan khalifah yang dapat menegakkan satu tamadun yang sejahtera di dunia dan seterusnya mencapai kebahagiaan di akhirat.

Penjelasan Falsafah PPAA

usaha – perbuatan secara sedar dan menjadi pilihan

menyeluruh – i. Luar dan dalam bilik darjah
ii. Meliputi seluruh aspek dan bidang ilmu
iii. Mengembangkan seluruh potensi insan – ‘aql, ruh, badan, emosi dan sosial (JERIS).
iv. Pertanggungjawaban oleh semua – pengurusan, guru, kakitangan,
ibubapa dan rakan sebaya.

berterusan – di sekolah (di dalam dan di luar bilik darjah), di rumah, pasca sekolah

dinamik – selari dengan perkembangan dan keperluan semasa, khususnya yang melibatkan fiqh mu’asir tanpa menggadaikan prinsip dan matlamat.

prinsip dan konsep – yang membentuk pandangan alam Islam (yang menjangkau dunia dan akhirah) serta dasar/asas rangkakerja Islam

seluruh potensi insan – ada keseimbangan dalam pembinaan dan perkembangan insan serta ilmu.

‘abd – pengabdian diri kepada Allah SWT

khalifah – sebagai wakil yang diamanahkan (melalui bidang/kepakaran masing-masing) untuk mentadbir alam dan Ummah.

tamadun yang sejahtera – kefahaman dan penghayatan Islam sebagai cara hidup yang dijelmakan dalam bentuk tamadun yang dimanifestasikan oleh prinsip, dasar, dan struktur dalam pendidikan, politik, kemasyarakatan, perundangan, ekonomi dan kewangan, keusahawan, kesenian, sains dan teknologi, pembangunan (islah), kesusasteraan, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran, alam sekitar, dll.

kebahagiaan di Akhirah – mendapat rahmat dari Allah SWT dengan balasan syurga dan paling utama mendapat rahmat untuk melihat Allah SWT.

No comments:

Post a Comment