Sokongan terhadap gerakan N-K adalah selari dengan prinsip-prinsip inklusif yang ingin dicapai dari perlaksanaan Shari'ah iaitu mewujudkan keadilan, rahmah, hikmah dan kebaikan bersama dalam sebuah kehidupan yang bertamadun.
Usaha untuk mewujudkan prinsip-prinsip di atas adalah bertujuan untuk menjamin Maqasid al-Shari'ah tercapai. Secara tradisi, tamadun atau peradaban yang memelihara 6 perkara asas dalam Maqasid Shari'ah yang menjadi Maslahah Ummah iaitu :
1. Memelihara Agama
2. Memelihara Nyawa
3. Memelihara Keturunan
4. Memelihara 'Aqal
5. Memelihara Maruah
6. Memelihara Harta
boleh dianggap sudah melaksanakan tanggungjawab sesebuah peradaban. Aspek-aspek yang ingin diperjuangkan oleh Gerakan N-K adalah 'extension' kepada Maqasid al-Shari'ah menurut terminologi kontempotari yang berupaya menjadi 'tool for renewal and reform'.
Aspek-aspek yang diperjuangkan seperti :
1. Menolak segala bentuk intoleransi, kebencian, pelampau dan keganasan : Memelihara agama, nyawa, aqal, maruah
2. Menolak segala bentuk diskriminasi, penindasan, ketidakadilan : Memelihara nyawa, aqal, maruah
3. Berusaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang inklusif : Memelihara agama, nyawa, maruah, aqal
4. Mendesak kerajaan dan institusinya menghormati, berpegang dan memelihara undang-undang : Memelihara agama, nyawa, aqal, maruah
5. Mendesak untuk memelihara prinsip-prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran : Memelihara agama, aqal, maruah
boleh dianggap sebagai memelihara aspek-aspek yang terkandung dalam Maqasid al-Shari'ah.
Penggabungan atau kerjasama dengan NGO atau peribadi bukan Islam atas isu-isu bersama yang selari dengan ruh Islam adalah diharuskan. Sebagai contoh isu-isu 'go green', penjimatan air, hak warga negara dalam pendidikan, peluang yang sama rata untuk 'create harta' dan isu-isu lain adalah tidak lari dari menjadi 'the concern of Islam' atau mana-mana masyarakat yang bertamadun. Malah semuanya itu adalah kesinambungan kepada memelihara nyawa, aqal dan harta.
......masih boleh diperhalusi oleh yang lebih 'arif.
Wallahu a'lam
Monday, August 4, 2014
Sunday, June 8, 2014
Shari'ah dan Peradaban
Dalam satu bengkel, Maqasid
al-Shari’ah (MS) dan Masyarakat Madani, pembentang menyarankan agar shari’ah
diperluaskan skopnya supaya melampaui ruang lingkup perundangan. Dalam erti
kata lain, sampai masanya shari’ah berperanan lebih aktif dalam kehidupan
sosial dan bidang-bidang lain.
Dalam perbincangan yang tidak
formal dengan rakan-rakan selepas satu sesi temubual di radio 24 Bernama
mengenai program ‘Seminar Wanita dan Shari’ah’, ada yang menyarankan agar
mewara-warakan juga hubungkait shari’ah dengan peradaban.
Dengan dua situasi ini, satu inisiatif
untuk memulakan perbincangan berkisar disekitar isu ini perlu diambil.
Menurut pandangan beberapa ulama
tradisi terdahulu, shari’ah seperti yang sentiasa ditegaskan oleh Prof Dr Jasser
Auda akan menjadi lebih inklusif, universal, dan menarik pandangan ramai apabila
shari’ah difahami sebagai sesuatu yang boleh membawa kepada keadilan,
rahmah, hikmah dan kebaikan bersama. Dengan ini, masyarakat dapat bermuamalah
berlandaskan satu sistem nilai yang akan membawa kepada kehidupan manusia yang
sejahtera. Jika pengertian shari’ah
sebegini yang difahami oleh ramai samada Muslim dan bukan Muslim, sokongan dari
pelbagai pihak pasti berada dibelakang perlaksanaan shari’ah, in sha Allah. Tibalah masanya untuk menyusun usaha supaya shari’ah menjadi lebih
mesra dan popular. Untuk ini, ditegaskan sekali lagi iaitu shari'ah secara umum mesti
dilihat sebagai memperjuangkan keadilan, rahmah, hikmah dan kebaikan bersama.
Semua yang berlawanan adalah bukan daripada shari'ah. Gambaran atau persepsi shari’ah
sebagai ‘ossified body of law’, ‘intellectually sterile body of knowledge’,
tidak berkaitan dengan sekarang dan masa hadapan , mundur, serius iaitu tiada
unsur hiburan, tidak professional dan ciri-ciri negatif yang lain perlu
diberi sudut pandang yang betul. Yang lebih penting perlu diingat iaitu perlaksanaan shari'ah termasuk hudud bukannya 'sudden or overnight affair instead it is like a spiral confined by its limits but moving with time with its norm requiring a fresh effort to understand by Muslims of every epoch.'
Persoalan berikutnya ialah
bagaimana pula peranan shari’ah dalam sesuatu peradaban? Untuk melihat shari’ah
sebagai satu ‘problem solving methodology’, Islam mesti diketengahkan sebagai
suatu peradaban yang merangkumi keagamaan
dan kerohanian, kemasyarakatan dan kebudayan, keilmuan dan pendidikan, kesenian
dan kesusasteraan, perundangan dan pemerintahan, ekonomi, sains dan teknologi,
serta persekitaran dan kesihatan. Dengan berlandaskan keadilan, rahmah, hikmah
dan kebaikan bersama, shari’ah khususnya maqasid
al-shari’ah berupaya menjadi ‘tool for renewal and reform’ samada dalam
bidang perundangan, fiqh, sosial dan bidang-bidang yang lain. Sebagai objektif
kepada shari’ah, MS secara tradisinya mengutamakan maslahah al-khair berhubung dengan pemeliharaan nyawa, aqal, harta,
iman dan marwah. Untuk peradaban hari ini, MS memerlukan satu
penterjemahan kontemporari. Sebagai contoh pemeliharaan nyawa kepada
pemeliharaan keluarga, pemeliharaan harta kepada penyuburan harta, pemeliharaan
aqal kepada pengembangan aqal iaitu menuntut ilmu serta mencipta kreativiti,
pemeliharaan marwah kepada kebebasan hak dan bersuara, pemeliharaan agama
kepada kebebasan kepercayaan.
Dengan terminologi kontemporari, MS berupaya menjadi ‘tool
for reform and renewal’ bagi sesuatu peradaban. Disamping itu ia boleh
diaplikasikan kepada masyarakat madani dan
aktivisme sosial. Tiga perkara yang perlu ditentukan adalah :
memberi makanan dan minuman, mengembangkan kekayaan dari memelihara agama, menuntut ilmu dari memelihara marwah dan lain-lain.
3. Muslim dan juga non Muslim harus berkerjasama di
atas objektif dan nilai sesuatu isu yang disepakati. Isu ini adalah juga
merupakan isu Islamik seperti pemeliharan alam sekitar, ‘go green’, penjimatan
air, pendidikan dan lain-lain.
Thursday, January 30, 2014
KENYATAAN MEDIA SEMPENA SEMINAR WANITA DAN SYARIAH 1/2014
Wanita
Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya, Jawatankuasa Wanita Masjid Tun Abdul Aziz dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
mengambil peduli terhadap peningkatan jenayah sosial yang berlaku dalam
sesebuah institusi keluarga. Dalam seminggu dua kebelakangan ini, berita-berita
yang dipaparkan di dalam media cetak dan juga elektronik adalah berkait dengan
diantaranya pembunuhan anak-anak di bawah umur, mukadimah zina yang melibatkan
seorang yang berkedudukan, suami menjadikan isteri semacam filem lucah,
anak-anak dilatih untuk mencuri kerana kesempitan hidup dan yang terbaru ialah pembunuhan anak-anak oleh seorang bapa yang dikatakan mengalami masalah mental atau mungkin disebabkan tekanan hidup. Terdapat banyak lagi
kes-kes berat yang berpotensi menggugat sesebuah institusi keluarga di mana
jika disenaraikan ia merangkumi perlakuan-perlakuan yang melayakkan runtuhnya
peradaban terdahulu. Fenomena ini amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran
seolah-seolah tiada lagi nilai, etika dan norma yang menjadi pegangan atau
wujudnya kecelaruan fahaman.
Kurun ini sangat mencabar dengan tuntutan
sosio-ekonomi mendominasi keperluan hidup manusia moden. Globalisasi serta
perkembangan dunia teknologi maklumat dan komunikasi pula berjaya mencorak
kehidupan. Sebagai contoh, generasi X, Y dan Z hari ini sangat terkesan dengan
khususnya dunia siber. Sikap dan cara berfikir berbeza yang terhasil akan
mewujudkan jurang generasi jika tidak ditangani dengan betul. Gaya hidup
materialistik pula seolah-olah menghalalkan apa jua bentuk transaksi dan
perlakuan. Bilangan gologan muda yang terjebak dengan bahana kad kredit juga
meningkat lantas menggugat keharmonian keluarga. Manakala tuntutan kerjaya di
kalangan pasangan yang berkerjaya telah mengurangkan masa berkualiti yang diperuntukkan
kepada anak-anak dari aspek pendidikan dan hubungan kekeluargaan. Malah tambah
menyedihkan lagi, kehadiran anak-anak
tidak dirasai manakala gajet-gajet yang serba canggih menjadi pengganti teman
sosial. Sementara itu, atuk dan nenek di kampung semakin merasa terpinggir
hatta yang tinggal bersama pun tidak disantuni dan dihormati sepatutnya.
Penyakit dan jenayah sosial yang melibatkan anggota keluarga seperti keganasan
terhadap anggota keluarga, pornografi, penzinaan, pergaulan bebas, rogol,
penagihan, pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan remaja, aktiviti seks
bebas, vandalisme, gengsterisme, rompakan, penculikan dan pembunuhan boleh
meruntuhkan sesebuah institusi keluarga.
Paparan di atas adalah diantara faktor penghalang
hatta berupaya menggagalkan kewujudan keluarga, masyarakat dan seterusnya
peradaban sejahtera. Pembangunan peradaban perlu diasaskan kepada keluarga yang
sejahtera. Setiap anggota keluarga mesti memahami serta memainkan tanggungjawab
masing-masing dengan memenunaikan hak-hak anggota dalam keluarga terbabit
sebagaimana yang telah disyari’atkan. Selari dengan itu, pendidikan yang
sempurna serta kesejahteraan aqidah perlu diutamakan. Masyarakat mendambakan
ketenangan di mana anggota di dalamnya dilimpahi dengan kasih sayang, disantuni
dengan sopan, hormat dan lemah lembut dan dibelai manja dengan perasaan belas
kasihan. Peradaban yang ditunjangi oleh masyarakat sejahtera berupaya untuk membangunkan
aspek agama dan kerohanian, ibadah dan muamalah, perundangan dan keadilan,
politik dan pemerintahan, pendidikan dan keilmuan, bahasa dan kesusasteraan,
seni dan kebudayaan, pemakanan dan kesihatan, sains dan teknologi, ekonomi
serta alam sekitar yang membawa rahmat keseluruh alam. Anggaplah kita berusaha
untuk mencipta syurga di dunia sebelum berpeluang menikmati syurga di akhirah.
Justeru, sebagai langkah untuk merealisasikannya
satu Seminar Wanita dan Syariah yang memberi fokus kepada kesejahteraan
keluarga akan dianjurkan. Seminar yang bertemakan ‘Memupuk Sakinah, Menyubur
Mawaddah dan Rahmah’ akan diadakan pada
1 Februari 2014 di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam. Program setengah
hari ini akan diisi dengan pembentangan ucaputama dengan tajuk ‘Gen X, Y, Z :
Di Mana Kita, Ke Mana Kita’ yang membicarakan dari perspektif syari’ah
kedudukan keluarga, tanggungjawab dan hak serta maksud keluarga sejahtera dan
kesan kepada pembentukan masyarakat dan peradaban di mana kedudukan generasi X,
Y, Z akan disentuh. Ia akan disusuli dengan satu bualbicara yang akan berkisar
sekitar tajuk ‘Yang Muda diSayangi, Yang Tua diSantuni’ yang akan lebih
tertumpu kepada senario kekeluargaan hari ini dan seterusnya menyarankan
langkah-langkah menangani permasalahan yang wujud untuk membentuk keluarga
sejahtera. Objektif yang hendak dicapai oleh Seminar Wanita dan Syariah ini
adalah :
1. Mendedahkan konsep, prinsip
dan tanggungjawab kekeluargaan dari perspektif Syariah
2. Meningkatkan kefahaman
terhadap kepentingan kesejahteraan dalam keluarga terhadap pembangunan masyarakat
dan seterusnya peradaban
3. Memberi pendedahan dan
kefahaman tentang kesan hubungan kekeluargaan yang longgar terhadap pembangunan
masyarakat dan seterusnya peradaban
Seminar ini mengaitkan Wanita dengan Syari'ah adalah kerana:
i.
Masyarakat
khususnya wanita perlu dimesrakan dengan Syari'ah dan juga sebagai usaha
untuk mempopularkan serta membiasakan masyarakat dengan Syariah
ii.
Ia adalah satu usaha untuk
membuang pandangan negatif terhadap Syariah. Syariah sering disalah fahami
sebagai hudud sahaja, berunsur barbaric, mundur (ketinggalan zaman), tiada
kebebasan, serius seperti hiburan tidak dibenarkan, tiada pembicaraan tentang
hal-hal keduniaan dan lain-lain lagi.
iii.
Seminar
ini berhasrat untuk memperkenalkan Syariah dalam skop yang lebih luas, inklusif
dan bertetapan dan selari dengan nilai-nilai universal,
iv.
Ingin memberi kefahaman bahawa
Syari'ah itu adalah tatacara mengendalikan seluruh aspek kehidupan (muamalah,
ibadah, jenayah, munakahat, politik, undang-undang termasuk hudud) dengan
mengenengahkan/menekankan prinsip-prinsip seperti keadilan, hikmah, membawa
rahmah dan memberi kebaikan. Dengan erti kata lain, Syari'ah adalah tidak bertentangan
dengan hak-hak asasi kemanusiaan.
Justeru, Slot 1 (ucap utama)
iaitu Kenali Syariah, biasanya mengenegahkan pandangan Syariah terhadap
isu yang menjadi fokus seminar seperti anak muda & cabaran globalisasi, wanita
& kerjaya dan untuk kali ini keluarga sejahtera & hak/tanggungjawab. Secara
umum, objektif perkaitan Wanita dan Syari'ah ialah : Wanita kenal seterusnya
menerima Syari’ah, manakala secara khususnya ialah : i. Wanita Islam
mengamalkan Syari’ah sebagai satu tatacara untuk mengendalikan kehidupan, ii.
Wanita belum Islam menyokong perlaksanaan Syari'ah.
Sehubungan dengan ini, kami
menyeru semua anggota masyarakat serta yang berwajib untuk memainkan peranan
masing-masing yang saling lengkap melengkapi sebagaimana yang digariskan
menurut skop penguasaan bidang masing-masing.
Dr
Nor Zalmiah Jahidin
Penasihat
Seminar Wanita dan Syari’ah 1/2014
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Jaringan, Wanita & Syari’ah
Wanita
Pertubuhan IKRAM Petaling Jaya
31
Januari 2014
Subscribe to:
Posts (Atom)